Boleh dikatakan saban hari ada sahaja berita sensasi muncul dalam media elektronik atau sosial yang menarik perhatian para pembaca dan netizen. Terbaharu isu penyebaran video seks songsang yang dikaitkan dengan menteri Kabinet Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berdasarkan pengakuan Haziq Abdullah Abdul Aziz, tetapi Mohamed Azmin menafikannya. Lantas, pelbagai komen bertali arus dalam media sosial berkaitan video itu.
Ada pihak mahu siasatan terperinci dilakukan demi kredibiliti pemimpin negara dan kerajaan Pakatan Harapan (PH). Mereka mahu Haziq diambil tindakan kerana perbuatan itu menyalahi undang-undang di Malaysia. Siapa `father and mother’ dalam penghasilan dan penyebaran video itu? Mesti ada dalangnya. Ada dua perspektif berbeza, pertama siapa individu bersama Haziq itu? Kedua, tujuan merakamnya?
Bak kata pepatah, kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang. Kalau tiada api, masakan tiada berasap. Jelas bukti video ada, tetapi pelakunya belum dikenal pasti. Dalam isu ini, siasatan mesti dilakukan secara adil dan terperinci demi kredibiliti serta imej kerajaan PH yang mendukung prinsip integriti, ketelusan, akauntabiliti dan keadilan.
Namun, analisis penulis melihat kemunculan video itu adalah petanda krisis kepimpinan dalam PKR. Sama ada betul atau tidak, video itu adalah cara mematikan kerjaya politik Mohamed Azmin. Jika di Barat dan Jepun misalnya, pemimpin yang ada skandal secara rela melepaskan jawatan, tetapi ini tidak berlaku di Malaysia.
Krisis kepemimpinan PKR pada pengamatan penulis bertitik tolak daripada proses pemilihan parti itu tahun 2018. Sebelum itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipilih sebagai ahli Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober 2018 ekoran kerusi itu dikosongkan oleh Datuk Danyal Balagopal Abdullah bagi memberi laluan kepadanya kembali ke Dewan Rakyat sekali gus sebagai persediaan menjadi Perdana Menteri.
Anwar memenangi jawatan Presiden PKR tanpa bertanding setelah Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail melepaskan jawatan itu. Namun, Wan Azizah kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri. Kenapa beliau tidak melepaskan jawatan tersebut kepada Anwar? Bila pula Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu Anwar menggantikannya? Selagi Anwar belum menjadi Perdana Menteri, selagi itu teka teki ini belum terjawab. Timbul pula pelbagai ramalan seperti Mohamaed Azmin bakal menjadi Perdana Menteri kelapan kerana Dr. Mahathir dilihat lebih suka kepadanya berbanding Anwar. Jika Azmin menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Jika ini benar-benar berlaku, maka Anwar dan penyokongnya berputih mata. Jadi, kemunculan video itu adalah manifestasi krisis kepimpinan dalam PKR. Paling tepat krisis Presiden dan Timbalannya. Kedudukan Mohamed Azmin tidak kukuh kecuali mendapat sokongan kuat Anwar. Namun, Anwar lebih berpihak kepada Rafizi Ramli dan melantiknya sebagai Naib Presiden walaupun tewas kepada Mohamed Azmin sebagai Timbalan Presiden. Anwar kemudian melantik Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dalam kalangan orang kepercayaannya.
Atas sebab itu, ada cadangan jawatan MPP dan MPN dipilih seperti jawatan-jawatan lain. Mohamed Azmin sendiri pun kelihatan tidak bersetuju dengan keputusan itu. Antara yang dilantik ialah Nurul Izzah Anwar sebagai MPN Pulau Pinang. Namun, bagi meredakan kemelut politik dalam PKR, beliau melepaskan jawatan Naib Presiden dan Pengerusi MPN Pulau Pinang. Tindakan Nurul Izzah itu tidak mampu menghentikan krisis kepimpinan PKR.
Jadi, penyebaran video seks itu adalah petanda krisis dalaman PKR makin membusuk. Jika benar individu itu Mohamed Azmin, maka masa depan dan kerjaya politiknya boleh berkubur walaupun dilihat berpotesi menjadi Perdana Menteri Kelapan. Jika Mohamed Azmin terus berada dalam kepimpinan negara, ia memberi laluan sukar dan tamparan hebat kepada Anwar dan sekutunya. Tiada cara lain kecuali ada pemimpin yang perlu dikorbankan. Siapa?
Bak kata bekas Menteri Luar Britian Lord Palmerston, tiada musuh dan sahabat politik yang kekal kecuali kepentingan politik. Dalam situasi semasa, video seks itu boleh menjadi punca segalanya. Jika Mohamed Azmin kekal sebagai menteri Kabinet dan Perdana Menteri Kelapan, maka Anwar kempunan kali kedua menjadi Perdana Menteri. Jika kerjaya politik Mohamed Azmin berakhir di pertengahan jalan, maka peluang Anwar terbuka luas mencapai cita-citanya.
Hakikatnya, skandal seks politik kerap berlaku. Jatuhnya pemimpin bukan kerana saingan politik sahaja, tetapi dek skandal seks sama ada secara suka sama suka atau secara terancang oleh pihak ketiga. Demikian juga dalam kes video seks itu jika benar seperti yang didakwa oleh Haziq, maka Mohamed Azmin adalah korbannya. Semua ini adalah petunjuk bahawa krisis kepimpinan PKR walaupun sebelum ini tidak berlaku terang-terangan, namun riak pada wajah menceritakan seribu macam persoalan.
Perlakuan songsang seperti dalam video itu tidak boleh diterima. Perbuatan pihak merakam dan menyebarkannya juga tidak boleh diterima. Benar atau palsu, video itu mesti disiasat. Hal ini kerana ia telah tersebar ke seluruh dunia. Jika benar seperti yang didakwa, maka pemimpin itu perlu melepaskan jawatannya. Berilah peluang kepada pemimpin lain yang lebih berakhlak baik memimpin negara.
Mereka yang terbabit dalam pembikinan video itu juga perlu dicari demi keadilan dan kredibiliti. Mereka perlu bertanggungjawab ke atas perbuatan itu. Tegahan kepada perkara tidak berakhlak mesti dilakukan. Tiada sebarang tindakan menghalalkan cara dibenarkan dalam apa juga keadaan walaupun demi kepentingan politik. Jadi, pemimpin dan musuh politik masing-masing mesti memberi teladan yang baik kepada rakyat walaupun bersaing merebut jawatan dalam parti atau kerajaan. Kepimpinan mencerminkan kumpulan yang dipimpin umpama ikan membusuk di bahagian kepala menuju ke bahagian ekornya. Justeru, pemimpin perlu bersih dan berakhlak.
DR. MALIKE BRAHIM
- Perunding Kanan Global Political Analyst and Academic Consultant (GoPAC).











