KUALA LUMPUR – Cubaan seorang juragan menyeludup keluar enam tong gas petroleum cecair (LPG) gagal apabila dia ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Sungai Pukol, Tawau, Sabah semalam.
Tindakan suspek berusia 44 tahun membawa tong tersebut dengan sebuah bot jongkong menuju ke Sungai Haji Kuning itu dipatahkan polis dalam operasi Op Gelora yang dilakukan pada pukul 9.20 pagi.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, pasukannya bertindak memintas bot suspek yang didapati dalam keadaan mencurigakan semalam.
“Pemeriksaan yang dilakukan ke atas suspek, kita dapati dia menyembunyikan enam tong gas LPG di dalam bot jongkong terbabit.
“Suspek itu turut gagal menunjukkan sebarang dokumen kebenaran membawa barang kawalan tersebut daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohamad Pajeri memberitahu, suspek kini ditahan manakala barangan seludup serta enjin sangkutnya dirampas.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – UTUSAN ONLINE











