RAKYAT negara ini memang cukup terkenal dengan kecintaan mereka terhadap makanan. Masakan tidak, di mana-mana sahaja terdapat pelbagai jenis pilihan menu berlatar belakangkan masyarakat majmuk Melayu, Cina dan India. Ini yang membuatkan Malaysia benar-benar unik di mata dunia.
Budaya yam-cha, mamak dan gerai burger merupakan antara kegemaran ramai rakyat sejak di bangku sekolah hingga meningkat dewasa, sinonim dengan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.
Mengakui burger antara makanan kegemaran keluarganya, Justine Leong dan suami, Hor Han Keng telah membuka sebuah kafe berkonsepkan burger dinamakan Burgerlari. Nama tersebut diilhamkan daripada anak-anak mereka yang membeli burger dan lari. Ini bertepatan dengan konsep makanan segera iaitu pelanggan dengan mudah dan pantas boleh membeli dan menikmati makanan tersebut.
“Menu yang ada pada masa ini semuanya bercita rasakan tempatan dan kemudian diolah dengan baik dengan menjadi makanan segera kegemaran ramai iaitu burger. Menariknya, semua roti burger yang digunakan ialah roti arang yang terkenal dengan ciri utamanya berwarna hitam. Bukan sahaja roti ini lembut malahan mampu kekal segar lebih lama,” katanya.
Justine ditemui pada majlis penerimaan sijil halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang disampaikan oleh Pengarah Sekretariat Majlis Halal Malaysia Jakim, Datuk. Dr. Sirajuddin Suhaimee di kafenya yang terletak di Cheras Leisure Mall, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ujar Justine, pensijilan halal ini penting bagi memastikan produk Burgerlari memenuhi setiap piawaian yang telah ditetapkan oleh Jakim.
Antara menu yang terdapat di kafe tersebut ialah hainanese chicken chop, burger nasi ayam, burger sate ayam, burger rendang ayam, burger ayam mentega dan burger nasi lemak.
“Bahan-bahan yang digunakan adalah bahan premium berkualiti. Hanya bahagian ayam yang terbaik digunakan untuk membuat patti burger. Sayur yang digunakan segar di samping sos terbaik digunakan dalam setiap hidangan,” katanya.
“Burgerlari ialah cita rasa Malaysia yang disajikan dalam bentuk makanan segera. Ia lazat, tanpa perasa tiruan atau bahan lain bagi mengisi patti ayam. Kami di Burgerlari sendiri suka menikmati burger-burger ini setiap hari,” tambah Justine lagi.
Burger-burger tersebut dijual pada harga set RM 15.50 dan ala carte RM12.90. Burgerlari dibuka mulai 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.











