Saya mengeluh panjang melihat timbunan kayu di satu sudut di luar kawasan rumah saya. Kayu tersebut berasal daripada dinding dan tiang surau lama yang letaknya betul-betul di hadapan rumah. Maklumlah, surau itu sudah diubah suai daripada kayu kepada batu, ditambah pula dengan pendingin hawa dan pintu gelongsor bercermin gelap ala gaya moden.
Daripada terbuang begitu saja, abang saya ambil beberapa batang kayu dan beruti dari situ, dengan kebenaran kontraktor yang sememangnya pening kepala kerana tidak tahu hendak letak di mana kayu-kayan lama itu.
Abang saya kononnya hendak membina pondok menggunakan kayu tersebut. Alah, biasalah orang lelaki, kononnya semuanya nak DIY. Semua benda tak nak dibuang, kononnya nak buat itu, nak buat ini, namun akhirnya terbengkalai dan naik semak samun serta pelbagai haiwan, daripada sekecil-kecil cicak sehinggalah tikus.
Masuk bulan keenam kayu tersebut di situ, saya jadi runsing. Mana tidaknya, rumah saya berserabut. Sakit mata tengok. Dengan zink buruknya, plywood, beberapa batang beruti sepanjang 2.5 meter dan entah apa-apa lagi. Dalam hati saya berkata, “Ya, aku perlu lakukan sesuatu.”
Beberapa hari selepas itu, saya bawa kereta sorong yang saya pinjam daripada jiran. Saya bertekad untuk mengemas dan mungkin membuat pondok atau apa-apa sajalah yang otak kreatif saya ini boleh fikirkan.
Saya mula mengemas hinggalah sampai waktu maghrib. Maklumlah surau ini aktif dan penuh dengan aktiviti setiap malam. Pukul 9.30 malam, selepas tiada lagi jemaah solat Isyak yang tinggal, saya sambung mengemas.
Malam kedua, saya ambil angle grinder dan potong-potong kayu tersebut mengikut spesifikasi pondok yang saya ingin bina.
Hari ketiga, saya bawa kayu-kayu yang sudah dipotong itu ke sebelah kiri rumah saya pula. Satu demi satu sendi kayu saya pasang menggunakan skru. Almaklumlah, saya ada cordless screwdriver, memang mudahlah kerja saya.
Lewat malam, habis kerja, saya terbongkang di atas katil dek terlalu penat. Ketika inilah ia berlaku…
KETUK
Malam itu saya rasa lain macam. Maksud saya bukan macam malam-malam yang biasa. Saya pula, tinggal berseorangan. Mata memang terkulai layu, namun entah kenapa, timbul perasaan seolah-olah ada sesuatu yang sedang memerhati.
Tiba-tiba di telinga terdengar bunyi ketukan cermin tingkap di sebelah katil. Saya tak ingat sama ada saya masih tidur atau masih belum tertidur, namun saya dapat dengar suara itu…
“Li… Li… aku lapar.”
Saya bingkas bangkit daripada katil. Betulkah apa yang saya dengar tadi? Saya mendiamkan diri, memerhati sekeliling bilik tidur yang gelap dan cuma disinari oleh lampu daripada rumah jiran. Ah, mungkin mainan tidur agaknya.
Saya kembali meletakkan kepala di bantal. Fikiran saya menerawang dan dek kerana badan yang terlalu letih, sebentar kemudian saya terlena semula.
TOK! TOK! TOK!
Bunyi ketukan cermin tingkap yang kuat menyebabkan saya terus bangkit. Saya mendiamkan diri, masih keliru. Bunyi yang saya dengar itu daripada mimpi atau memang realiti?
TOK! TOK! TOK!
Cermin diketuk lagi. Kali ini saya pasti, memang tingkap bilik saya diketuk. Segera saya petik suis luar bilik, di balkoni dan membuka tingkap. Saya pelik bagaimana saya boleh jadi begitu berani, mungkin deruan adrenalin yang memenuhi darah menyebabkan saya berkelakuan sebegitu.
Terus saya perhati di luar rumah, namun tiada apa-apa. Tiada juga sesiapa di situ. Hanya deruan angin sahaja. Saya memanggil dengan kuat “Siapa di sana? Hoi!!”
Tidak berjawab. Sunyi.
Hanya kedengaran suara cengkerik diselang-seli dengan deruan angin. Tiada tanda-tanda bunyi tapak kaki berlari mahupun bunyi-bunyi lain.
Sebenarnya saya ini seorang yang sangat skeptik, lebih-lebih lagi mengenai hal-hal misteri, hantu, jin, rasukan sihir dan lain-lain. Saya doktor, apabila saya dapat pesakit yang meracau-racau ibarat terkena rasukan syaitan, terus saya berpendapat pesakit tersebut jadi begitu kerana berhalusinasi atau mengambil dadah terlarang.
Tapi malam itu, saya dengar dengan telinga saya sendiri. Selepas beristighfar beberapa kali serta membaca ayat Kursi, saya rasa tiada apa-apa pun. Ah, lupakanlah!
DENGUSAN
Saya tutup suis lampu, bilik kembali gelap. Namun serentak lampu terpadam, saya terlihat bayangan di luar bilik. Macam satu lembaga, setinggi melebihi tiga meter, berdiri betul-betul di luar tingkap bilik tidur saya.
Ini bukan khayalan. Memang saya nampak bayang-bayangnya menunjukkan panjang tangan dan kakinya yang tidak simetri macam bentuk badan manusia.
Saya terus bangun dan menjerit, “Hoi, siapa tu!” sambil menghidupkan semula suis lampu serta membuka pintu. Tiada apa-apa yang kelihatan, sama seperti tadi. Senyap sunyi sahaja.
Saya mula cuak. Saya membaca ayat-ayat suci yang dihafal. Saya baring semula dan membiarkan lampu bilik terpasang. Akibat keletihan, saya terlena.
“Li, aku lapar, aku nak nasi. Lepas kau alih rumah aku, aku tak ada tempat nak tidur, aku tak ada tempat nak masak dan nak makan. Aku lapar Li, bagi lah aku masuk…”
Itulah ayat terakhir dalam mimpi saya yang saya ingat sebelum saya dikejutkan oleh bunyi dengusan yang sungguh kuat di telinga saya. Saya terjaga dan bingkas bangun.
Ya Allah, mimpi apakah tadi? Suara dengusan apa yang terdengar di telinga saya? Dada saya berdebar. Persoalan demi persoalan berlegar di fikiran saya.
Apakah yang sedang berlaku ini?
SALAH SAYA
Pada pukul 4.30 pagi itu juga saya hubungi rakan sekolah, Ustaz Aziz. Dia salah seorang ustaz yang bekerja di pejabat agama Muar.
“Jumpa saya pukul 10 pagi nanti, ceritakan semuanya,” kata Ustaz Aziz.
Memang apa yang saya pelajari, daripada segi common sense, daripada segi logik dan saintifik, tak tercapai fikiran saya tentang perkara yang berlaku ini. Terlampau aneh.
Seperti dijanjikan, pukul 10 pagi, kami bertemu. Mengikut Ustaz Aziz, semua yang berlaku ini berpunca daripada perbuatan saya mengalihkan timbunan kayu di belakang rumah. Ada kemungkinan makhluk tersebut sudah menetap di situ dalam jangka masa yang agak lama. Saya pula, sesuka hati mengalihkan `rumahnya’, sudah tentulah dia membalas semula.
Ustaz Aziz kemudian mengajar saya cara untuk memagar rumah, iaitu dengan azan sebanyak tujuh kali serta membaca selawat dan ayat Kursi tujuh kali di setiap sudut rumah. Oleh kerana rumah saya ada lapan sudut, saya perlu lakukannya pada semua lapan sudut itu. Memang penat, tapi saya tak sanggup diganggu lagi dan saya membuat perancangan untuk buat terus setibanya di rumah nanti.
Namun, saya ini suka menangguhkan kerja. Balik daripada berjumpa Ustaz Aziz, saya pergi ke kedai mamak dahulu, kemudian ke kedai runcit. Hanya pada pukul 10 malam baru saya tiba di rumah. Saya letakkan beg di atas kerusi, duduk, dan…
Tiba-tiba saya terasa telinga saya dihembus nafas. Cukup kuat menyebabkan saya tersentak. Saya lihat sekeliling, tiada sesiapa. Ya Allah, rupa-rupanya tadi saya terlena! Saya bangun cepat-cepat buat apa yang Ustaz Aziz sarankan. Saya laungkan azan, baca ayat Kursi dan lain-lain.
IKTIBAR
Sejak daripada saat itu, saya tidak lagi skeptik bahawa makhluk yang hidup di alam lain, memang wujud. Makhluk ini memang boleh memberi kesan fizikal terhadap manusia.
Pembaca Mingguan Malaysia sekalian, ini kisah benar dan baru saya alami beberapa bulan lepas. Harap anda dapat mempelajari sesuatu dan mengambil iktibar daripada apa yang terjadi kepada saya (Dr. Onn Azli Puade, Muar, Johor).











