Bermula minggu ini negara-negara di Asia Barat terutamanya di Kuwait, Arab Saudi, Qatar, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dijangka mengalami musim panas yang boleh mencetuskan gelombang kepanasan pada tahap sangat ekstrem sehingga sekumpulan pakar kaji cuaca di Kuwait meramalkan bacaan suhu kali ini boleh mencecah sehingga 68 darjah Celsius bulan hadapan.
Bagi sesetengah orang mungkin terkejut apabila mendengar suhu di negara-negara Arab ini boleh mencecah tahap kepanasan yang sangat melampau tetapi sebenarnya terdapat beberapa kawasan tertentu yang mengalami cuaca panas ekstrem setiap hari dan adakalanya mencecah suhu yang tidak dapat diterima akal.
1. Death Valley, AS
Death Valley yang merupakan sebuah kawasan gurun di AS diiktiraf oleh Pertubuhan Meteorologi Dunia sebagai kawasan paling panas di dunia apabila pernah mencatatkan suhu mencecah 56.7 darjah Celsius pada 10 Julai 1913.
Kawasan ini yang kini diwartakan sebagai taman negara sejak tahun 1933 pernah dihuni oleh pekerja lombong sekitar tahun 1850-an. Bagaimanapun, sejak 1907 kawasan ini mula ditinggalkan dan tiada seorang manusia pun yang mendiami kawasan ini lagi.
2. El Azizia, Libya
Sebelum Death Valley diiktiraf sebagai kawasan paling panas, El Azizia terlebih dahulu menerima pengiktirafan ini apabila pernah mencatatkan suhu paling panas di muka bumi iaitu mencecah 58 darjah Celsius. Rekod ini bertahan selama 90 tahun sehinggalah Pertubuhan Meteorologi Dunia mengumumkan pada 2012 bahawa bacaan yang dibuat pada 13 September 1922 itu tidak tepat.
Meskipun begitu, kawasan gurun pasir ini masih kerap mengalami suhu panas melebihi 48 darjah Celsius terutamanya ketika pertengahan musim panas.
3. Dasht-e Lut, Iran
Kawasan ini yang merupakan sebuah gurun pasir sepanjang 480 kilometer (km) dan lebar 320 kilometer (km) pernah mencapai suhu sehingga 70 darjah Celsius selepas dicatat oleh satelit yang dilengkapi peralatan moderate resolution imaging spectroradiometer (MODIS) milik Saintis Pentadbiran Angkasa dan Aeronautik Negara (NASA).
Berdasarkan pemerhatian yang dibuat NASA, pada tahun 2004, 2005, 2006, 2007 dan 2009 kawasan di sini pernah mencatatkan suhu paling panas di muka bumi. Namun begitu, daripada semua tahun tersebut, tahun 2005 mencatatkan suhu yang paling panas iaitu mencecah 70 darjah Celsius.
4. Gunung Flaming, China
Gunung Flaming atau dikenali sebagai Gunung Gaochang terletak di kawasan Pergunungan Tian Shan, Xinjiang, China. Pada 2008 satelit NASA pernah merekodkan kawasan ini sebagai salah satu kawasan yang mempunyai suhu paling panas di dunia iaitu mencecah 80 darjah Celsius.
5. Australia Badlands
Australia yang sebahagian besar muka buminya yang terdiri daripada gurun merupakan benua paling kering di dunia dan berpenghuni. Pada 2003, Australia pernah mengalami musim paling kering kerana berlakunya fenomena El-Nino pada tahun sebelum itu. Rentetan itu, satelit NASA telah berjaya mencatatkan suhu mencecah 69 darjah Celsius di kawasan Queensland outback atau kawasan pedalaman Queensland dan peristiwa ini diingati sebagai Badlands of the Queensland Outback atau Australia Badlands.
6. Rub’ al-Khali, Semenanjung Arab
Rub’ al-Khali merupakan sebuah kawasan padang pasir terbesar di dunia meliputi sepertiga wilayah Semenanjung Arab mencakupi negara Arab Saudi, Oman, Yaman dan UAE. Setiap tahun kawasan padang pasir ini mengalami suhu panas dan kering. Suhu tertingginya pernah mencapai sehingga 56.1 darjah Celsius.
7. Timbuktu, Mali
Kota kuno ini yang menyimpan banyak kisah sejarah peradaban dunia terletak di persimpangan jalan perdagangan untuk pedagang-pedagang lampau di Gurun Sahara. Selain itu, Timbuktu juga pernah menjadi pusat penyebaran agama Islam di benua Afrika suatu ketika dahulu.
Suhu di kawasan ini sangat panas dan pernah mencatatkan bacaan sehingga 54.5 darjah Celsius. Namun begitu, kota ini bertuah kerana terletak berhampiran Sungai Niger yang menjadi sumber air utama untuk penduduk Timbuktu.
8. Kebili, Tunisia
Kebili yang merupakan kawasan oasis padang pasir di tengah-tengah Tunisia pernah menjadi tempat pelarian penduduk dari Afrika Utara untuk menghindari cuaca panas kerana kawasan ini kaya dengan pohon kurma dan sumber air.
Biarpun dilindungi dengan pohon-pohon kurma, tempat ini masih mengalami suhu yang sangat panas sepanjang tahun dan pernah mencatatkan bacaan sehingga 55 darjah Celsius sekali gus menjadi salah satu kawasan paling panas di Afrika.











