PUTRAJAYA – Kementerian Tenaga, Sains,Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) menggerakkan Jawatankuasa Penyelarasan Pemantauan bagi mengenal pasti punca kejadian pelajar sekolah sesak nafas di Pasir Gudang, Johor, semalam.
Dalam satu kenyataan di sini hari ini, MESTECC berkata, jawatankuasa yang ditubuhkan menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) itu melibatkan Jabatan Kimia, Jabatan Kesihatan Johor, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan
Pekerjaan, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Pendidikan Daerah dan Pasir Gudang Emergency Mutual Aid (PAGEMA).
“Jawatankuasa itu akan diketuai oleh Pengarah JAS Johor yang mana mesyuarat pertama telah diadakan malam tadi.
“Jawatankuasa Penyelarasan Saintifik juga akan diaktifkan bertujuan untuk menyelaras analisis saintifik berkenaan isu tersebut,” katanya.
Semalam media melaporkan, seramai 15 murid Sekolah Agama Taman Mawar, dekat Pasir Gudang, Johor mengalami simptom muntah dan sesak nafas dipercayai terhidu udara tercemar.
Mengulas lanjut katanya, JAS dengan kerjasama Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat juga sedang giat menjalankan pemantauan kualiti udara dalam radius dua kilometer (km) dari sekolah terlibat sejak malam tadi.
Pemantauan awal udara bagi parameter karbon monoksida (CO), hydrogen sulfida (H2S) dan volatile organic compounds (VOC) adalah pada tahap sifar manakala bacaan oksigen adalah 21.2 ppm.
“Bilik gerakan pemantauan juga telah dibuka di Stadium Perbadanan Pasir Gudang dan skop pemantauan akan diperluaskan dari masa ke semasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE











