KUALA LUMPUR – AmInvestment Bank mengekalkan saranan ‘beli’ bagi saham Serba Dinamik Holdings kerana yakin dengan model perniagaan penyenggaraan dan operasi kumpulan perkhidmatan tenaga itu.
Firma penyelidikan itu dalam nota penyelidikannya berkata, syarikat tersebut giat mengembangkan profil pendapatan berulang jangka panjangnya dengan memanfaatkan secara strategik platform kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian serta pemilikannya sama seperti Dialog Group.
“Serba Dinamik kekal berada di landasan untuk mencapai sasaran nilai perolehan kontrak sebanyak RM10 bilion oleh pengurusan pada akhir tahun kewangan 2019 yang membayangkan pertumbuhan nilai perolehan kontrak sebanyak 33 peratus tahun ke tahun.
“Ini bermakna pertumbuhan hasil tahun kewangan 2019 pada 15 peratus hingga 20 peratus boleh dicapai,” katanya di sini hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, pengurusan Serba Dinamik menjangkakan pertumbuhan hasil kukuh yang berterusan pada tahun ini di pacu oleh peningkatan permintaan di Asia Barat dan Asia Tenggara, diterajui oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar.
AmInvestment menetapkan saranan beli bagi Serba Dinamik dengan nilai saksama RM6.50.
Pada pukul 10.55 pagi, saham Serba Dinamik tidak berubah pada RM4.10 dengan 2.73 juta saham diniagakan. – BERNAMA











