JOHOR BAHRU – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mendukung aspirasi Pas dalam menjayakan agenda penyatuan umah dan perpaduan nasional sebagai agenda universal dan holistik yang diterima masyarakat majmuk di Malaysia.
Mohamed Khaled berkata, Sudah tiba masanya orang Melayu dan Islam membuktikan bahawa pemerintahan Melayu-Islam berkemampuan mengurus Malaysia yang beraneka budaya serta agama.
“Ucapan Dasar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberikan mesej yang jelas kepada kita untuk terus memandang serius serta berusaha untuk menjadikan ‘Agenda Penyatuan Ummah’ ini sebagai agenda universal dan holistik yang diterima masyarakat majmuk di Malaysia.
Berita berkaitan:
“Sudah tiba masanya orang Melayu dan Islam membuktikan bahawa pemerintahan Melayu-Islam berkemampuan mengurus Malaysia yang beraneka budaya serta agama, selain memberikan penyelesaian kepada krisis jati diri Melayu-Islam yang kian parah akibat dampak globalisasi dan modenisasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khaled berkata, sebagai sebuah parti nasionalis dan kebangsaan Melayu, UMNO akan terus memperkasakan idealisme parti agar sentiasa mendaulatkan Islam dan kepentingan-kepentingan orang Melayu.
“Dalam mengakui perbezaan ideologi di antara UMNO dan Pas, ia harus ditangani dan dimurnikan secara matang, ilmiah serta membina, demi menjaga keizahan agenda penyatuan umah ini.
“Para pemimpin di akar umbi harus difahamkan dengan pasak-pasak utama ‘Agenda Penyatuan Ummah’ ini agar mesej dan hasrat sebenar UMNO-Pas dapat dimilikrakyatkan serta diterjemah oleh semua merentasi perbedaan kaum, agama, budaya dan geografi,” katanya. – UTUSAN ONLINE











