PASIR GUDANG – Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri mendapati tiada punca spesifik yang menyebabkan masalah gangguan kesihatan hingga menyebabkan 15 murid di sini menerima rawatan di Hospital Sultanah Ismail (HSI) Johor Bahru semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan Dan Warisan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar berkata, siasatan awal JAS juga mengesahkan tiada sebarang kejadian pembuangan atau pelupusan haram daripada sisa buangan berjadual.
Berita berkaitan:
“Setakat ini, tiada punca spesifik yang menyebabkan masalah gangguan kesihatan tersebut. JAS akan memaklumkan perkembangan siasatan dijalankan dari semasa ke semasa,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Operasi Pemantauan di Stadium Perbandaran Majlis Perbandaran Pasir Gudang di sini hari ini.
Semalam, seramai 13 murid dan dua orang dewasa menerima rawatan di HSI setelah mengalami gangguan kesihatan seperti sesak nafas dan muntah-muntah akibat pencemaran udara.
Mohd. Khuzzan berkata, enam pelajar perempuan berusia sembilan dan 10 tahun telah dimasukkan ke wad bagi mendapatkan rawatan lanjut manakala yang lain sudah dibenarkan pulang. – UTUSAN ONLINE











