KUANTAN – Dalam politik negara ini, hendaklah diambil kira bumiputera Melayu pelbagai rumpun yang kuat berpegang dengan Islam menjadi kaum dominan dilantik sebagai teras kepemimpinan negara dengan peneguhan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dan Raja Berperlembagaan.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kuatnya Melayu berpegang pada Islam sehingga ditarifkan Melayu itu sebagai beragama Islam di sisi Perlembagaan.
“Apa yang dibimbangkan hari ini adalah keberanian melulu dalam kalangan parti politik dan individu yang menunjukkan sikap mencabar kedudukan Islam, raja-raja Melayu dan hak istimewa yang boleh mencetuskan ketegangan yang merosakkan hubungan yang telah terjalin dengan baik.
“Begitu juga ada kalangan orang Islam yang kehilangan jati diri Islam dan kebangsaan turut berperanan merosakkan konsep dan peranan dominasi ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-65 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) di Indera Mahkota di sini hari ini.
Abdul Hadi berkata, rakyat pelbagai kaum dan agama hendaklah menolak kalangan itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang demi kebaikan semua pihak.
“Kita perlu mengatur hari muka yang bahagia dan tiada kecelakaannya kerana wujud berbagai bangsa dan bahasa adalah fitrah yang tidak boleh dipisahkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











