KUANTAN 21 Jun – Pas terbuka untuk berdialog dan menjalin hubungan politik dengan semua pihak berdasarkan lima prinsip kerjasama dalam Piagam Muafakat Politik.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu konsisten untuk memilih pendekatan damai dalam berpolitik jika ia melibatkan kerjasama yang menguntungkan Islam, negara dan bangsa di samping kerjasama yang mendahulukan perpaduan dalam kalangan umat.
Katanya, prinsip seterusnya ialah kerjasama yang mempertahankan perpaduan dalam masyarakat majmuk; menunjukkan nilai akhlak dan integriti tinggi serta saling menghormati, saling membantu dan tidak memusuhi.
“Justeru jangan putuskan hubungan Islam dan hubungan kemanusiaan.
“Kalau renggang rapat-rapatkan, kalau jauh dekat-dekatkan, kalau putus hubungkan, teruskan perjalanan perpaduan ummah, laksana biduk lalu kiambang bertaut, air ditetak tidak putus,” katanya. – UTUSAN ONLINE











