KUALA LUMPUR- Seorang lelaki direman empat hari untuk membantu siasatan kes menetak lengan kiri teman lelaki anak saudaranya yang cuba menuntut hutang daripadanya di Sibu, Sarawak, kelmarin.
Portal Utusan Borneo melaporkan, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, suspek berusia 52 tahun itu di sebuah kedai kopi di Jalan Long Bridge pada pukul 4 pagi semalam susulan satu laporan polis dibuat mangsa.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.25 petang itu, mangsa, 31, bersama teman wanitanya pergi ke rumah suspek di Jalan Pahlawan untuk menuntut hutang sebanyak RM30,000 yang dipinjamkan kepada suspek sejak 2017.
“Apabila pengadu (mangsa) datang ke rumah untuk berbincang, suspek naik angin dan bertindak mengambil parang lalu melibasnya ke arah mangsa.
“Libasan itu terkena lengan kiri mangsa mengakibatkan kecederaan. kejadian itu turut disaksikan teman wanita mangsa sebelum suspek melarikan diri,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Stanley berkata, mangsa kemudian mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan pakar di sini dan menerima lima jahitan akibat luka berdekatan siku kirinya.
Katanya, bertindak atas maklumat, pihak polis berjaya menangkap suspek yang kemudian dibawa ke balai untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Siasatan lanjut mendapati suspek mengakui mencederakan mangsa dengan menggunakan parang yang telah dibuangnya ke sungai di Jambatan Hulu Lanang.
“Suspek juga akan dirujuk kepada pihak narkotik untuk ujian saringan air kencing dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan parang,” katanya.-UTUSAN ONLINE











