ALOR SETAR – Polis akan menjalankan siasatan secara profesional berhubung kes seorang anggota polis trafik yang melepaskan tembakan sehingga menyebabkan seorang lelaki cedera parah di bahagian lengan kiri dalam kejadian di Jalan Lencong Timur di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, siasatan secara profesional, telus dan adil itu bagi memastikan tiada pihak yang teraniaya dalam kejadian tersebut.
“Siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku apabila dua lelaki yang menaiki motosikal jenis Modenas telah melanggar lampu isyarat di Taman Pelangi, Jalan Kuala Kedah sebelum dikejar oleh anggota polis berkenaan yang berada di kawasan tersebut.
“Dua lelaki terbabit enggan memberhentikan motosikal dan terus menunggang secara berbahaya termasuk melanggar beberapa lagi lampu isyarat selain menghimpit motosikal yang dinaiki anggota polis dalam cubaan melarikan diri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, dengan tujuan untuk memberhentikan motosikal tersebut, anggota polis berkenaan telah melepaskan satu tembakan yang disasarkan di bahagian tayar belakang motosikal yang dinaiki mereka. – Bernama











