KUALA LUMPUR – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sandakan menggagalkan cubaan seorang lelaki menyeludup 500 liter minyak diesel ke Filipina di Pasar Umum, Sandakan, Sabah semalam.
Rampasan pukul 11 pagi itu dibuat selepas polis menahan sebuah lori berwarna putih yang kelihatan mencurigakan.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sandakan, Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, pihahnya turut menahan seorang lelaki berumur 50 tahun yang memandu lori tersebut.
“Pemeriksaan lanjut di dalam ruang kargo bahagian belakang lori menemukan berpuluh tong berisi minyak diesel yang disyaki akan diseludup ke Filipina.
“Pemandu terbabit juga gagal menunjukkan sebarang dokumen kebenaran yang sah untuk membawa barang kawalan itu daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP),” katanya.
Mohamad Pajeri memberitahu, kesemua rampasan minyak tersebut dianggarkan bernilai RM11,305.
“Tangkapan dan rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan selanjutnya. Kes disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawalan Bekalan 1961, dibaca bersama Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











