KUALA TERENGGANU – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sedang mengambil langkah pro-aktif meningkatkan pengeluaran labu manis bagi keperluan pasaran domestik menerusi kerjasama pekerja ladang kontrak antara negeri pantai timur dengan pantai barat.
Langkah agresif itu digembeleng FAMA bagi memenuhi permintaan tinggi terhadap produk berkenaan selain mengurangkan kebergantungan kepada pengimportan labu manis.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA, Zainal Abidin Yang Razalli berkata, pihaknya menjangkakan penanaman secara lebih giat di sebelah pantai barat akan mula dilaksanakan pada Ogos dan September tahun ini.
Jelasnya, dengan kerjasama serta kolaborasi pekerja ladang kontrak di pantai barat ini dapat membantu menghasilkan antara 50 peratus ke 60 peratus labu manis pada tahun ini.
Menurutnya, selain Terengganu dan Kelantan di sebelah pantai timur, beberapa negeri di pantai barat melibatkan Melaka, Selangor, Kedah dan Perak.
“Pantai timur khususnya Terengganu antara negeri pengeluar utama labu manis di negara ini, namun pengeluarannya terbantut pada musim tengkujuh iaitu pada November, Disember dan Januari.
“Jadi menyedari masalah ini, FAMA melalui peserta ladang kontrak akan buat perancangan bekalan labu manis secara lebih terancang,” katanya
Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas merasmikan Agrobazaar Chendering dan Pelancaran Karnival IAT Terengganu 2019 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah FAMA Terengganu, Fauzi Mohamed.
Zainal Abidin berkata, bagi tujuan itu, FAMA juga akan menggerakkan jawatankuasa ladang kontrak di peringkat negeri yang dipengerusikan Pengarah FAMA negeri.
Menurutnya, melalui komitmen serta peranan jawatankuasa yang diketuai pengarah FAMA negeri itu, penanaman labu manis akan diaktifkan secara lebih terancang selain jalinan kerjasama pantai timur dan pantai barat. – UTUSAN ONLINE











