IPOH – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengesahkan tiada sebarang rombakan exco kerajaan negeri akan dilakukan seperti yang didakwa.
Menurutnya, setakat ini beliau berpuas hati dengan prestasi semua exco dan tidak akan melakukan tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan kerajaan negeri.
Beliau berkata, walaupun wujud masalah-masalah kecil dalam kalangan exco namun ia tidak sampai ke peringkat mereka harus digugurkan.
“Saya sangat gembira dengan barisan exco yang saya ada setakat ini, jika ada masalah dan perkara kecil, kita boleh selesaikan.
“Ia bukanlah seperti jika ada exco yang terlupa hendak memaklumkan kepada saya mengenai sesuatu perkara maka saya kena tendang dia keluar, tidak.
“Jadi setakat ini saya tak nampak ada apa-apa perubahan (exco),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) di sini hari ini.
Ahmad Faizal memberitahu, barisan exco kerajaan negeri akan mengangkat sumpah memperbaharui ikrar selepas setahun menjalankan perkhidmatan dalam masa terdekat.
Namun beliau enggan menyatakan tarikh majlis angkat sumpah tersebut.
“Apa juga keputusan yang dibuat, saya akan fikirkan kestabilan politik di Perak, itu jauh lebih penting,” katanya.
Sebelum ini wujud dakwaan Dr. Abdul Aziz Bari dan Abdul Yunus Jamhari akan digugurkan dalam rombakan exco.
Abdul Aziz yang memegang portfolio Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar dikatakan akan digantikan oleh ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.
Abdul Yunus yang merupakan exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan, Abdul Yunus Jamhari pula dikatakan akan digantikan dengan
ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad. – UTUSAN ONLINE











