KAJANG 20 Jun – Seramai 41 daripada 1,800 banduan beragama Islam hari ini berpeluang bertemu keluarga masing-masing setelah terpilih dalam program jalinan kasih sempena sambutan Aidilfitri anjuran Penjara Kajang, di sini.
Ada di antara mereka yang telah bertahun tidak bertemu keluarga setelah menjalani hukuman atas kesalahan yang dilakukan, dan mereka mengambil peluang selama dua jam yang diperuntukkan itu bagi melepaskan rindu.
Pengarah Jabatan Penjara Kajang, Abdul Halim Ma-Hasan berkata, melalui program itu, banduan yang menyertainya dipilih berdasarkan beberapa kriteria antaranya telah menjalani hukuman lebih setahun, tidak melakukan kesalahan disiplin, aktif dalam aktiviti penjara dan keluarga sanggup hadir memberi sokongan.
“Kami dapat 70 permohonan daripada keluarga banduan untuk sertai program hari ini sebab ada yang sudah lama tidak berjumpa dan kami mahu penghuni penjara berasa mereka masih lagi diperlukan dan dihargai,” katanya.
Sementara itu, seorang banduan yang menyertai program itu melahirkan rasa terharu apabila bekas bapa mentuanya sanggup hadir untuk bertemunya walaupun dia telah bercerai dengan isterinya tahun lalu.
“Selama menjalani hukuman ini, ibu, abang dan datuk saya meninggal dunia. Saya dah banyak buat salah tapi apabila saya telefon bapa mentua, dia selalu berikan sokongan dan nasihat,” kata Ismail (bukan nama sebenar), 34, yang dijatuhi hukuman penjara kerana merogol gadis bawah umur.
Seorang lagi banduan yang mahu dikenali sebagai Farhan, 23, berkata, dia sangat teruja apabila dapat bertemu ibu bapa dan lima adik-beradiknya selepas lebih setahun di penjara.
“Sebelum dapat jumpa keluarga pun hati dah berasa sebak bila setahun tak jumpa, saya rasa menyesal sangat. Lepas keluar nanti, saya akan tolong keluarga berniaga,” katanya yang menjalani hukuman penjara enam tahun kerana kesalahan mengedar ganja. – BERNAMA











