TOKYO 19 Jun – Bak menonton adegan filem seram, seorang penyelam Rusia diserang seekor sotong kurita gergasi semasa meneroka perairan Laut Jepun, baru-baru ini.
News.com.au melaporkan, video yang dirakamkan di semenanjung Garrow, Jepun itu menunjukkan seekor sotong kurita menerkam penyelam dari Gamov, Rusia itu beberapa saat sebelum menggengam kuat badan mangsa menggunakan lengan dan sesungutnya supaya lelaki itu tidak terlepas.
Tambah dramatik, ketika mangsa cuba menyelamatkan diri, haiwan itu bertindak ganas dengan menyerangnya menggunakan muncung tajam yang disembunyikan dalam mulutnya.
Bagaimanapun mangsa berjaya melepaskan diri daripada cengkaman sesungut sotong tersebut sebelum haiwan itu turun ke arah batu di bahagian dasar laut.
Sotong kurita berkenaaan kemudiannya menukar warna kulit dan teksturnya menyerupai batuan dasar sebelum bersembunyi di celah-celah batu.
Lazimnya, sotong gergasi yang hidup di kawasan pantai sepanjang California, Oregon, Washington, British Columbia, Alaska, Rusia, Jepun dan Semenanjung Korea mempunyai sifat malu secara semula jadi ketika berdepan dengan manusia.
Sotong kurita gergasi itu dikatakan mempunyai saiz lebih besar dan hidup lebih lama berbanding spesis sama yang lain. Sotong gergasi spesis sama yang pernah ditangkap sebelum ini adalah sebesar 9.1 meter dengan berat 272 kilogram (kg). – AGENSI











