Impak negatif AP gula buat MSM - Utusan Malaysia

Impak negatif AP gula buat MSM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – MSM Malaysia Holdings Bhd. (MSM), pengeluar gula bertapis tempatan, berkemungkinan mengkaji semula model perniagaan selepas menjangkakan penurunan prestasi ekoran tindakan kerajaan meluluskan permit import (AP) gula kepada pengeluar makanan dan minuman di Sarawak.

Pengerusi MSM, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid berkata, pertambahan bilangan syarikat penerima AP secara mendadak itu mampu memberi kesan apatah lagi selepas pihaknya membelanjakan sekitar RM1.1 bilion bagi kilang penapisan di Tanjung Langsat, Johor.

Menurut beliau, lebih membimbangkan kerana situasi tersebut juga akan mengakibatkan para pengguna terutama­nya rakyat negara ini terdedah kepada ketidaktentuan harga serta bekalan gula dunia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami telah membuat rayuan kepada kerajaan dan usaha itu akan berterusan kerana satu keputusan perlu dibuat secara adil.

“Sekiranya tidak, syarikat mungkin perlu menggunakan strategi alternatif lain yang akan memberi manfaat positif kepada MSM.

“Ketika ini, MSM sedang meneroka aliran pendapatan tambahan daripada pasaran eksport dan domestik dengan mempelbagaikan produk berasaskan gula seperti gula pracampur, gula cecair serta produk tambah nilai dan produk pemanis yang sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan MSM di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MSM, Datuk Khairil Anuar Aziz; Ketua Pegawai Kewangan MSM, Ab. Aziz Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Bhd., Datuk Haris Fadzilah Hassan.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, MSM menca­tatkan peningkatan yang positif dengan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM60.3 juta berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM19.6 juta pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, pada suku pertama 2019, MSM merekodkan 12 peratus penurunan dalam hasil kepada RM485.62 juta berban­ding tempoh yang sama sebe­lumnya sebanyak RM549.06 juta.

Tambah Azhar, ketika ini kapasiti pengeluaran MSM berjumlah 2.25 juta tan setahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini