KETIKA ini semakin ramai kelompok ‘cef selebriti segera’ yang bukan sahaja dijulang tinggi menerusi laman sosial seperti Instagram bahkan mudah mengukir nama dalam di stesen-stesen televisyen.
Sebagai contoh, pengaruh dan populariti pemilik nama Khairul Aming dan Syaf Kun yang memang sudah tidak boleh dinafikan. Berbekalkan hanya kandungan video masakan, mereka meraih pengaruh dan pengikut yang ramai sehinggakan dilabel segelintir pihak sebagai ‘cef selebriti segera’.
Situasi tersebut belum lagi menyentuh perihal cef selebriti muda yang diberi kepercayaan dan peluang muncul dalam televisyen dan memiliki program masakan sendiri.
Ironi, pengalaman mereka dalam industri seni kulinari tidaklah segah sebagaimana ‘kerusi’ yang diduduki.
Pendapat sedemikian turut dikongsi cef selebriti terkenal, Datuk Redzuan Ismail atau Cef Wan. Ikon dunia kulinari tanah air itu kecewa apabila banyak pihak dengan sewenang-senangnya menggunakan terma cef selebriti tanpa kelayakan yang mencukupi atau sepatutnya.
“Ingin jadi seorang cef selebriti, gelaran itu memerlukan lebih daripada hanya bakat memasak. Bukan semua orang boleh muncul dalam televisyen sebagai cef selebriti.
“Saya tidak faham dengan budaya di Malaysia. Mengapa kalau seseorang itu ada sedikit bakat memasak, senang-senang mereka boleh masuk televisyen dan guna gelaran cef selebriti.
“Padahal, sesetengah itu hanya penulis blog masakan, bukan cef terlatih secara profesional seperti kami yang sudah lama berkecimpung dalam bidang ini.
“Anda boleh jadi pengacara program masakan atau mempunyai program masakan tetapi anda bukan cef selebriti.
“Saya tidak faham mengapa ada yang senang-senang guna gelaran cef selebriti padahal mereka tiada pengalaman dan kelayakan pendidikan dalam bidang kulinari,” selar Cef Wan yang pernah bekerjasama dengan cef selebriti terkenal dunia, mendiang Anthony Bourdain dalam program masakan dan jelajah, No Reservations pada tahun 2005.
Pengalaman
Tambah Cef Wan, 61, untuk membawa dan menggunakan gelaran cef selebriti, seseorang itu bukan sahaja perlu mengikuti pengajian berteraskan ilmu kulinari, bahkan harus memiliki pengalaman bekerja di hotel atau restoran sebagai cef atau tukang masak.
“Di Malaysia pelik sedikit. Hal ini kerana, setakat boleh masak atau bersembang depan kamera, terus dipanggil cef selebriti.
“Sebab itu kita nampak dalam televisyen, individu yang dipanggil cef selebriti terus masukkan ikan dalam kuali ketika minyak belum panas. Malah, cara sebilangan daripada mereka pegang pisau pun salah.
“Ada juga yang masih tidak mengerti perbezaan antara menggoreng, merebus dan memanggang. Ada antara mereka panggang ayam, tetapi apabila dikeluarkan daripada ketuhar, kaki ayam itu terkangkang,” ujar Cef Wan.
Lelaki yang pernah memenangi trofi Cef Selebriti Televisyen Terbaik pada majlis anugerah Gourmand World Cookbook pada tahun 2009 itu bertegas, semua pihak perlu sedar bahawa gelaran cef selebriti juga tidak boleh sewenang-wenangnya diberikan kepada seseorang yang baru tamat menuntut ilmu dari mana-mana institusi atau sekolah kulinari.
“Baik media, stesen televisyen dan orang ramai perlu cakna seseorang itu bukan boleh jadi cef selebriti tetapi tidak pernah bekerja di restoran.
“Sebelum masuk industri, mereka perlu raih pengalaman dan mendapat latihan yang secukupnya untuk melayakkan diri memegang gelaran cef selebriti. Ini tidak, belajar di kolej enam tujuh bulan terus ingin dipanggil gelaran cef selebriti hanya inginkan glamor,” katanya.
Penyakit glamor
Pendapat dengan akar yang sama turut dikongsi cef selebriti terkemuka kelahiran China, Cef Martin Yan.
Ujar Cef Martin, dia menghabiskan masa bertahun-tahun di dapur sebelum dikenali sebagai antara cef selebriti terbaik dunia.
“Seperti kata Cef Wan, saya dilatih untuk menjadi seorang cef dan banyak menghabiskan masa di dapur sejak dari bangku sekolah.
“Sekarang saya memiliki 12 buah restoran di seluruh dunia dan memiliki ramai pekerja. Apabila bergaul dengan mereka (pekerja), saya fikir susahnya untuk menghasilkan satu hidangan buat pelanggan.
“Ilmu itu tentang pengalaman. Kalau anda tidak pernah melakukan atau mengerjakannya, itu bukan pengalaman dan tidak layak untuk dikongsikan kepada orang ramai, baik dalam media sosial apatah lagi televisyen,” ulasnya kepada Kosmo! ketika ditemui di ibu negara baru-baru ini.
Cerita Cef Martin lagi, jika diberikan peluang dan perhatian dengan ‘penyakit glamor’ sedemikian, memang tidak akan bertahan lama kerjaya mereka sebagai seorang cef.
“Saya dan Cef Wan sudah saling mengenali hampir 20 tahun. Banyak kali kami bekerjasama dalam program televisyen.
“Kami masih bertahan sampai sekarang kerana apa yang kami cakap dan buat, orang percaya. Kami bukan sahaja memiliki ilmu dalam bidang kulinari, paling penting, pengalaman dalam industri yang tidak boleh ditukar ganti,” kata Cef Martin.
Celah Cef Wan, stesen televisyen perlu memainkan peranan untuk menapis pertumbuhan kelompok cef selebriti ‘segera’ di pasaran agar industri kulinari tempatan tidak diperkotak-katikkan demi keuntungan yang tidak bertahan lama.
Peranan stesen televisyen
Getusnya dengan nada serius: “Saya pernah berada di bawah, dimarahi kerana melakukan kesilapan. Lihat di mana saya sekarang.
“Kini suasananya kelakar, stesen televisyen mengutamakan wajah yang cantik dan kacak sedangkan ilmu memasak sangat mengecewakan. Saya sedih kalau buka televisyen tengok cef selebriti muda yang tiada pengalaman dan kelayakan mengendalikan sesebuah program masakan.”
Tambah Cef Wan, pandangan sedemikian juga dipersetujui oleh golongan pakar atau profesional yang bekerja dalam bidang kulinari atau gastronomi.
“Saya tidak cemburu dengan kejayaan yang diraih oleh penulis blog masakan atau cef selebriti muda-mudi kini.
“Semua orang dalam industri bercakap tentang trend yang disifatkan tidak bagus untuk perkembangan dunia kulinari atau gastronomi tempatan.
“Mahu jadi cef selebriti, boleh, tetapi tolong isi minda dengan ilmu dan paling penting pengalaman.
“Tanpa pengalaman, anda tidak akan bertahan untuk tempoh lama. Ditolak atau dikritik banyak kali? Percayalah, anda akan terus menjadi seorang cef kalau menerima kritikan dengan hati terbuka,” tutup Cef Wan mengggulung bicara.
Gelaran cef selebriti ‘segera’ kini terbiak persis cendawan yang tumbuh selepas hujan apatah lagi dikuasakan oleh media sosial. Dua ikon dunia kulinari, Cef Wan dan Cef Martin berbicara tentang kepentingan pengalaman dan ilmu bagi melengkapi gelaran tersebut.











