KUANTAN – Ahli Dewan Pemuda Pas diingatkan supaya memahami dua perkara penting yang menjadi wadah perjuangan parti berkenaan sejak dahulu.
Ketua Dewan Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, perkara pertama adalah wadah perjuangan parti itu berbeza dengan wadah parti-parti politik lain di negara ini.
“Wadah politik kita (Pas) adalah wadah politik Islam yang mempunyai batas, akhlak dan adabnya yang berbeza dengan parti politik lain.
“Perkara kedua adalah Pas melaksanakan kaedah kerahsiaan dari sudut strateginya dan mesej dakwah yang kita hendak sampaikan perlulah jelas,” katanya pada sesi soal jawab sempena Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat di Pusat Konvensyen, Bukit Gambang Resort City (BGRC) di sini hari ini.
Muhammad Khalil berkata, berdasarkan perkara kedua itu juga, langkah politik yang diambil Pas berbeza mengikut masa, suasana dan tempat. – UTUSAN ONLINE











