TUMPAT – Polis giat mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan kejadian melarikan barangan kemas dan wang tunai bernilai RM21,000 dari sebuah kereta di hadapan Masjid Khairiah Mukim Chabang Empat, di sini pada 7 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, dua lelaki terbabit dikenali sebagai Mohd. Nasir Salleh, 43, dan Saidi Mat Yusoff, 35.
Katanya, dalam kejadian 7 Jun lalu, sepasang suami isteri mengalami kerugian RM21,000 apabila beg tangan berisi barang kemas dan wang tunai yang diletakkan di bawah kerusi penumpang hadapan lesap selepas cermin kereta mereka dipecahkan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai dua lelaki ini boleh salurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di talian 09-7257222,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











