Bapa Nurul Najwa dijaga sukarelawan, ahli Cakna UUM - Utusan Malaysia

Bapa Nurul Najwa dijaga sukarelawan, ahli Cakna UUM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH – Bapa kepada pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Nurul Najwa Mohd. Johari yang dilaporkan menderita strok di Kampung Haji Wan Omar, di sini dijaga secara bergilir-gilir oleh 10 sukarelawan universiti itu serta ahli Kelab Patriot Anak Kelantan (Cakna UUM).

Mereka mengorbankan cuti semester masing-masing dengan ‘mengambil alih’ tugas menjaga Mohd. Johari Said, 55, bagi membolehkan anaknya menduduki peperiksaan akhir semester empat di kampus universiti tersebut di Kedah sejak 16 Jun lalu.

Wakil Sukarelawan UUM, Nurul Aiza Ezatie Baharin, 22, berkata, mereka secara sukarela bergilir-gilir menguruskan Mohd. Johari yang diserang strok dan memerlukan bantuan hampir sepanjang masa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, memandangkan Nurul Najwa terpaksa menggunakan wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi menyara bapanya, para sukarelawan dan ahli Cakna UUM turut menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban gadis itu.

“Atas dasar prihatin terhadap nasib rakan satu kampus kami masing-masing membahagikan tugas menyediakan makanan dan minuman kepada bapa Nurul Najwa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Wakil Cakna UUM, Muhammad Farid Rosdi, 21, pula berkata, tugasan membeli makanan, membersih kawasan rumah, membasuh baju, menggunting rambut dan membawa Johari bersiar-siar memberi pengalaman baharu kepada dia dan rakan-rakan.

“Bapa Nurul Najwa nampak ceria dan gembira kerana kami sentiasa berada di rumahnya.

“Sukarelawan akan pulang ke rumah masing-masing pada sebelah malam sebelum sukarelawan lain datang semula menyambung tugasan pada awal pagi keesokan hari,” katanya.

Baru-baru ini, Utusan Online melaporkan Nurul Najwa yang memohon pertimbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pengurusan Rumah Seri Kenangan (RSK) Pengkalan Chepa supaya mengambil semula bapanya bagi membolehkan dia meneruskan pengajian.

Mohd. Johari dikatakan dihantar pulang oleh pengurusan rumah berkenaan kerana tidak cukup syarat umur menduduki RSK iaitu perlu berusia 60 tahun ke atas.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan bebanan keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 156066379098 milik Nurul Najwa Mohd Johari. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini