IPOH – Sebanyak 33 kes direkodkan di seluruh negeri sepanjang Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri yang bermula 21 Mei lalu dan berakhir hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, A. Sivanesan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 32 kes membabitkan kegagalan peniaga meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu pada barangan harga terkawal manakala satu kes lagi adalah kesalahan tiada tanda harga.
Katanya, kesemua kes itu dikesan setelah pemeriksaan ke atas 5,386 premis peruncit dan pemborong di seluruh negeri yang dijalankan dalam tempoh tersebut.
“Dalam tempoh 30 hari (SHMMP) berlangsung, nilai rampasan yang dicatatkan adalah sebanyak RM2,031.60 manakala nilai kompaun berjumlah RM3,500 selain menerima satu aduan,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut beliau, secara umumnya, pelaksanaan SHMMP di negeri ini amat memuaskan berdasarkan beberapa faktor termasuk tiada aduan berhubung bekalan barang kawalan sepanjang tempoh kawalan.
Malah katanya, tahap pematuhan peniaga adalah baik di mana mereka memahami tanggungjawab dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan seperti menjual barang kawalan tidak melebihi harga maksimum, memastikan bekalan mencukupi, mempamerkan tanda harga khas dan menggunakan alat timbang dan sukat yang telah ditentukan.
“Selain itu, terdapat juga barang kawalan yang dijual lebih rendah daripada harga maksimum yang ditetapkan dengan harga dan bekalan barangan keperluan lain didapati stabil di pasaran.
“Pencapaian ini jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan yang sentiasa membantu rakyat berbelanja untuk membeli barangan keperluan pada harga berpatutan ketika musim perayaan,” katanya. -UTUSAN ONLINE











