‘Bubarkan sahaja Pertubuhan Peladang’ - Utusan Malaysia

‘Bubarkan sahaja Pertubuhan Peladang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Kerajaan dicadang supaya lebih baik membubarkan sahaja Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh negara jika berhasrat untuk terus membiarkan campur tangan orang-orang politik dalam pertubuhan itu.

Pengerusi PPN Kedah, Datuk Abdul Lateh Mohd. Saman berkata, pihaknya kesal kerana sehingga kini suara akar umbi mewakili ketiga-tiga peringkat itu yang menolak pembabitan orang-orang politik dalam pertubuhan tersebut tidak didengari.

Kata beliau, malah Pertubuhan Peladang terpaksa mengambil tindakan mahkamah untuk menghalang perbuatan itu dan kini menunggu proses perbicaraan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Harus diingat bahawa Pertubuhan Peladang adalah milik ahli-ahlinya yang membuat pelaburan seperti mana perjalanan sebuah koperasi, dan bukannya sebuah agensi kerajaan (yang ahli-ahli jemaah pengarah dilantik Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani).

“Maka sebab itu, pemilihan ahli-ahli jemaah pengarah di tiga peringkat iaitu Nafas, PPN dan PPK mesti ditentukan oleh perwakilan… Jika ada lantikan menteri sekali pun, mestilah tidak melebihi 50 peratus. Malangnya sebagai contoh pada masa kini, lima ahli jemaah pengarah PPN dilantik menteri berbanding hanya empat oleh perwakilan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Jamuan Hari Raya Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), PPN dan PPK Kedah di sini, hari ini.

Sebelum ini, kesemua 42 PPK yang menaungi 100,000 orang petani di negeri ini membantah sekeras-kerasnya terhadap pindaan komposisi ahli jemaah pengarah pertubuhan itu yang dianggap satu bentuk campur tangan politik.

Pindaan yang berkuat kuasa 1 Mei lalu itu, telah mencabul hak ahli-ahli pertubuhan dan ‘merampas’ kuasa mereka untuk melantik ahli jemaah pengarah di tiga peringkat untuk mewakili suara golongan berkenaan.

Abdul Lateh seterusnya mempersoalkan pengumuman pemberian elaun tetap kepada Pengerusi Nafas berjumlah RM10,000 dan RM5,000 setiap seorang Ahli-ahli Jemaah Pengarahnya dalam mesyuarat agung pertubuhan itu baru-baru ini.

“Sebelum ini (campur tangan politik), pemberian elaun kepada pengerusi dan ahli jemaah pengarah adalah tidak tetap dan mengikut keuntungan pertubuhan dan kelulusan Pendaftar LPP. Jika untung banyak, maka lebih banyak elaun diberi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini