KUALA LUMPUR – Kes kemalangan dan kematian direkodkan dalam Op Selamat 15 sempena Hari Raya Aidilfitri 2019 bermula 29 Mei hingga 12 Jun lalu mencatatkan peningkatan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, sebanyak 24,461 kes kemalangan dilaporkan sepanjang tempoh 12 hari operasi terbabit dijalankan.
“Jumlah itu meningkat kepada 2,050 kes atau 9.1 peratus berbanding 22,411 kes pada Op Selamat 13 tahun lalu.
“Berlaku peningkatan satu kes melibatkan jumlah kematian atau 0.4 peratus pada tahun ini iaitu 249 kes berbanding tahun lalu yang merekodkan 248 kes,” katanya dalam Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 15 sempena Hari Raya Aidilfitri 2019 di Bukit Aman di sini hari ini.
Dalam pada itu, jumlah saman yang dikeluarkan atas pelbagai dalam Op Selamat kali ini mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 350,537 saman berbanding 343,863 saman pada tahun lalu.
Katanya, penunggang motosikal adalah penyumbang utama bagi kes kematian iaitu sebanyak 158 individu diikuti kereta (60); lori (5); basikal (4) dan lain-lain (6).
“Hasil analisis dilakukan mendapati sikap kecuaian pemandu menjadi penyumbang tertinggi kemalangan iaitu sebanyak 10,271 kes atau 27 peratus.
“Faktor terbabas sendiri pula adalah punca utama kemalangan maut yang membabitkan 92 kes,” katanya. – UTUSAN ONLINE











