KUALA LUMPUR 19 Jun – Kedutaan Besar China di Malaysia menghargai hubungan baik antara kaum di Malaysia yang menjadi asas kepada keharmonian negara ini.
Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian berkata, perkara itu terbukti melalui sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini yang bukan sahaja disambut oleh orang Islam, tetapi juga turut diraikan oleh rakyat bukan Islam.
“Pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri, kaum Muslim menjemput saudara-mara, kawan-kawan dan jiran ke rumah untuk merayakan Hari Raya bersama, ziarah-menziarahi, dan bersalam-salaman.
“Di samping itu, memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan,membawakan mereka sayang, kemesraan dan harapan.
“Yang kedua ialah sikap terbuka dan bertoleransi. Hari Raya diraikan di Malaysia bukan sahaja oleh kawan Melayu, tetapi juga kawan Cina, India dan sebagainya,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Kedutaan Besar China di sini.
Ucapan itu disampaikan sepenuhnya dalam bahasa Melayu, dan majlis rumah terbuka itu merupakan kali kedua dianjurkan oleh Kedutaan Besar China di Malaysia.
Bai Tian berkata, pada sempena Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, beliau berpeluang menghadiri majlis Rumah Terbuka Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri serta rakan-rakan Melayu yang lain.
Dalam majlis-majlis tersebut katanya, beliau melihat rakyat pelbagai kaum dan agama sama-sama menyambut Hari Raya.
“Hal ini meningkatkan lagi tanggapan saya berkenaan kepelbagaian budaya dan amalan bertolak-ansur di Malaysia,” katanya.
Katanya, China sendiri merupakan sebuah negara berbilang kaum sejak zaman kuno lagi.
Menurut beliau, kaum-kaum hidup dengan harmoni walaupun mengamalkan budaya yang jauh berbeza.
“Terdapat 23 juta orang Muslim di China. Mereka sama seperti rakan-rakan Muslim di Malaysia, bersifat baik budi, rajin, sayangi kehidupan, sudi menjaga anak-anak dan wargatua.
“Mereka menikmati kehidupan yang aman dan bahagia, memberi sumbangan untuk pembangunan tanah air serta keharmonian antara kaum.
“Pada bulan lepas, kawan-kawan Muslim di China juga berjaya menunaikan ibadah puasa, dan kini meraikan Hari Raya dengan pelbagai jenis majlis perayaan dalam suasana yang cukup meriah.
“Bak kata Presiden Republik Rakyat China, Xi Jinping, ‘jika menghormati perbezaan kebudayaan dan berkembang bersama-sama, serta berpegang teguh kepada sikap keterbukaan, inklusif dan saling belajar, dunia akan menjadi harmoni’.
“Hari ini, Kedutaan China di Malaysia mengadakan MajlisRumah Terbuka Hari Raya untuk menyampaikan penghormatan dan penghargaan kepada kebudayaan Islam, menyampaikan ucap selamat kepada kawan-kawan Muslim di Malaysia, dan berkongsi kegembiraan ini bersama,” katanya.
Beliau juga mengambil peluang untuk mengucapkan Selamat Hari Raya kepada rakan-rakan Muslim di China dan Malaysia, serta semua kawan Muslim yang cintai keamanan, sayangi kehidupan, memegang keadilan dan kesetaraan di seluruh dunia. – UTUSAN ONLINE











