IPOH – Pengendali Perak, Mehmed Durakovic mengakui skuad The Bos Gaurus sepatutnya melakar kemenangan dengan jaringan lebih besar ke atas Terengganu FC dalam aksi Liga Super 2019 di Stadium Perak, di sini semalam.
Beliau berkata banyak peluang dihasilkan sepanjang 90 minit permainan namun hanya tiga jaringan berjaya disudahkan oleh anak buahnya.
“Secara jujurnya, kita boleh hasilkan empat atau lima gol dalam perlawanan ini berdasarkan peluang yang terhidang di hadapan gawang gol Terengganu.
“Kecekapan dan persembahan cemerlang penjaga gol Terengganu pada malam ini juga seharusnya dipuji kerana dia berjaya menafikan peluang kita untuk meraih kemenangan besar,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Terdahulu, dalam perlawanan tersebut Perak berjaya meledak tiga gol menerusi kapten pasukan, Shahrul Mohd Saad pada minit ke-34 dan penyerang import, Ronaldo Henrique di minit ke-69 serta 77.
Sementara itu, gol saguhati Terengganu FC dijaringkan oleh pemain kebangsaan Kemboja Chanthachesey Bin pada minit ke-88.
Mengulas insiden pemain import lawan, Dechi Marcel N’Guessan yang dilayangkan kad merah pada minit ke-27, Mehmed berkata ia keputusan muktamad pengadil perlawanan dalam mengawal aksi antara kedua-dua pasukan.
Sementara itu, jurulatih Terengganu FC, Mohd Nafuzi Muhammad Zain berkata beraksi dengan 10 pemain pada separuh masa pertama perlawanan sememangnya menjejaskan aksi anak buahnya untuk melakar kemenangan ke atas Perak.
Katanya selain itu dengan penggantungan dan kecederaan yang menimpa beberapa pemain utama pasukan turut menyumbang kepada kekalahan berkenaan.
“Kita beraksi tanpa Lee Tuck, Ashari (Mohd Ashari Samsudin) dan Malek (Abdul Malek Mat Ariff). Ia sememangnya menjejaskan kita kerana kita tahu Perak merupakan pasukan yang mempunyai kualiti dari segi pemain tempatan dan import.
“Bagaimanapun saya tetap berpuas hati dengan para pemain kita kerana berjuang dalam mengimbangi asakan daripada pasukan tuan rumah,” katanya. – BERNAMA











