SAYA amat kecewa baru-baru ini terhadap tindakan politik murahan sebuah parti politik yang ‘memperli’ seorang tokoh politik lain dengan mempersoalkan kelayakan jawatan Perdana Menteri Malaysia bagi seorang ‘bekas banduan’.
Bagi saya bukan sahaja implikasi kenyataan ini memperlekehkan seorang tokoh yang telah sengsara selama lebih satu dekad meringkuk dalam penjara atas tuduhan yang ramai sifatkan sebagai mainan politik tidak bertanggungjawab, tetapi kenyataan ini juga semacam mencerca bekas-bekas banduan yang lain.
Mengikut analisis seorang ahli akademik universiti awam, peluang tokoh yang dihina itu mungkin tipis dengan whispering campaign yang sedang berlegar dalam dunia media sosial internet tentang kelayakan tokoh tersebut kerana istilah ‘bekas banduan’.
Saya terpanggil sebagai seorang Muslim dan rakyat Malaysia yang bertanggungjawab untuk menegur dan mengingatkan umat Melayu dan Islam bahawa tindakan sedemikian itu bukan sahaja politik murahan tetapi suatu kesalahan adab besar di sisi Islam.
Imam Ghazali menyebutkan dalam Kitab Ihya Ulummuddin bahawa lidah kita boleh membawa ke neraka.
Janganlah ingat bertahun-tahun memperjuangkan ‘Islam’ dalam sesebuah parti maka akaun pahala akhirat dah bertimbun banyak dan melakukan politik murahan sedemikian sesuatu yang kesalahannya mungkin ringan-ringan sahaja. TIGA KATEGORI BANDUAN
Sebagai sefaham saya, banduan ini ada tiga jenis kategori. Kategori pertama adalah seseorang yang memang benar melakukan kesalahan seperti merompak, mencuri dan jenayah sepertinya dan telah menjalani hukuman di atas keadilan yang telus.
Kategori kedua adalah banduan yang dikatakan melakukan ‘kesalahan’ seperti lelaki yang memakai pakaian wanita, menghina polis atau menghina orang-orang ‘besar’.
Bagi saya kesalahan ini adalah sesuatu yang malang bagi manusia kerana di negara-negara lain, ia bukan menjadi apa-apa kesalahan.
Untuk menuduh mereka ini bersalah adalah sesuatu interpretasi yang tidak ada persetujuan bersama dalam konteks global dan universal.
Banduan kategori ketiga adalah mereka yang dianiayai oleh orang lain demi politik, kedengkian atau lain-lain.
Contohnya ahli politik yang mencabar kepimpinan akan dihumban ke dalam penjara atas tuduhan dibuat-buat dan dengan bantuan hakim yang tidak bermoral, maka mereka ini dipenjarakan.
Sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman dua kali bagi perkaitan sodomi, saya, seperti ramai rakyat Malaysia, tidak percaya satu sen pun keputusan mahkamah kerana saya dapat membaca sendiri bukti-bukti dan pertuduhan yang jelas sekali tidak kemas serta bercelaru.
Beliau, seperti tokoh-tokoh politik seperti Nelson Mandela, Mahatma Gandhi, Lim Guan Eng, Syed Qutb dan Profesor Dr. HAMKA kesemuanya menjadi mangsa mainan politik kejam dan jijik.
PELIK BIN AJAIB
Sefaham saya dalam Islam, seseorang yang bersalah dan menjalani hukuman maka kita tidak boleh lagi mengungkit kesalahan tersebut dan kita harus membuka peluang seluasnya bagi mereka kembali ke pangkuan masyarakat.
Mencaci dan mencerca mereka ini adalah perbuatan moral yang rendah dan tidak beradab sebab mereka telah membayar hutang hukuman. Mencerca dan mencaci bekas banduan kategori kedua adalah suatu yang lebih berbahaya sebab tidak semestinya hukuman mereka ini setimpal dengan interpretasi ‘kesalahan’.
Di United Kingdom, orang tidak dipenjarakan jika mengkritik golongan Raja, ahli politik atau polis. Sekarang ini banyak pakaian wanita adalah seperti lelaki tetapi tidak pun dianggap bersalah.
Mencerca dan mencaci golongan ini adalah suatu penganiayaan yang berkonteks interpretasi moral agama dan budaya di sesuatu masa yang khusus.
Bagi bekas banduan kategori ketiga pula, mencerca dan mencaci mereka yang dianiaya adalah suatu perbuatan yang terkutuk.
Bagi sebuah parti politik yang pernah memperjuangkan penganiayaan tokoh ini di suatu ketika yang lampau, ia menjadi suatu yang pelik bin ajaib apabila menghina tokoh yang diperjuangkan dahulu.
Alangkah murahnya harga moral dan adab parti ini demi meraih undi orang Muslim yang sama-sama tidak faham adab dan tatasusila agama sendiri.
Artikel ini tidak memperjuangkan seseorang individu tokoh politik tetapi hanya ingin mengingatkan orang Melayu tentang agama serta tata adabnya sendiri.
Waima orang yang melesapkan berbilion ringgit 1MDB sekalipun, jika menjalani hukuman setimpal dan berumur panjang masih boleh diambil sebagai pemimpin politik jika perangai dan wawasannya berubah.
Apakah pula ‘banduan luaran’? Mereka ini memang pesalah benar tetapi oleh kerana mempunyai wang banyak maka keadilan itu boleh dilengah-lengahkan sehingga akhir hayat kadang-kadang.
Mereka ini pula disanjung tinggi manakala ‘bekas banduan’ yang teraniaya dan menjalani hukuman tanpa keadilan telus dicaci cerca.
Jika terdapat seseorang tokoh politik yang boleh mengaburi mata orang lain dengan penggunaan istilah ‘bekas banduan’ sebagai ‘fakta’ sejarah tetapi mempunyai insinuasi memperli atau mencaci, maka ia menjadikan si penyebut sebagai tokoh politik yang mungkin dilihat sebagai bermoral rendah, berjiwa kecil dan amat jauh sekali dari adab dan tatasusila sunnah Rasulullah.











