LAGAKNYA sangat bersahaja ketika diminta untuk memberikan satu demi satu aksi dan gaya di hadapan bidikan kamera.
Terlihat cantik dalam definisi seorang anak remaja bertubuh gempal dan berkulit hitam manis, pesona Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin atau Cik B cukup berbeza berbanding ketika dia muncul di muka pintu studio pada pagi itu.
Bukan seorang gadis yang gemar berpakaian feminin, Cik B dilihat begitu senang mendakap kebahagiaannya dengan imej ala tomboi sekali gus menyaksikan dia mungkin berbeza dengan rakan seusianya yang lain.
Namun, satu yang pasti, dia amat popular dengan caranya tersendiri.
“Adakala saya rasa macam tak percaya mampu meraih populariti. Iyalah, saya tak cantik macam orang lain. Di Malaysia ini, boleh ke budak tak cantik jadi terkenal dalam dunia hiburan?
“Kalau lihat dalam platform media sosial, rata-rata gadis muda dan cantik, mesti diangkat jadi popular atau ramai pengikut. Tapi saya unik dan boleh dikatakan ada satu tempat yang istimewa di hati peminat dan masyarakat.
“Mungkin sebab saya ini kuat melawak dan tak hipokrit kot? Kalau inilah faktor yang menyebabkan orang boleh terima, maka tak ada sebab untuk saya berubah menjadi orang lain,”katanya.
Mengakui adakala tidak mengerti mengapa sesetengah orang memilih untuk tidak menjadi diri sendiri, dia enggan terikut-ikut dengan cara sebegitu. Katanya, untuk apa malu sedangkan menjadi orang lain itulah yang sepatutnya membuatkan diri merasa lebih terbelenggu.
Seperti dirinya yang seringkali menjadi sasaran kecaman kerana dikatakan tidak pandai berfesyen dan dianggap pelik walhal berstatus orang kaya, Cik B sedikit pun tidak melatah.
“Tak perlulah bercakap atau mengkritik pasal saya. Ini adalah apa dan cara yang saya suka. Bukan berpakaian mencolok mata pun.
“Saya suka pakaian yang estetik, selesa, baju berkonsep streetwear dan oversize. Macam artis antarabangsa, Billie Eilish, orang kita tak kutuk pula dia pakai baju macam lelaki.
“Baju yang saya beli tak mahal pun, malah tak berjenama seperti ramai orang sangka,” katanya.
Penyimpan rahsia mama
Alang-alang membuka cerita mengenai mamanya, Pancaindera melayangkan pertanyaan mengenai kontroversi yang berlaku baru-baru ini membabitkan kedua orang tuanya.
Tidak pernah merasakan dirinya tersepit dalam isu perceraian, kata Cik B, adalah satu pembohongan jika dia tidak pernah mengharapkan ayah kandungnya dapat berubah menjadi lelaki yang lebih baik.
“Saya pun tidak mengharap lebih kerana sudah cukup ada mama di sisi. Dialah ibu dialah ayah. Dia jugalah sahabat baik saya, lengkap semua itu pada dirinya.
“Rasanya, kehidupan kami sekeluarga baik-baik sahaja tanpa kehadiran lelaki bergelar ayah.
“Sedikit pun saya dan adik tak terasa kekurangan atau ketidaksempurnaan,”katanya.
Ditanya seandainya ibu bertemu jodoh dengan mana-mana lelaki selepas ini, laju sahaja terpacul kata ‘tak payahlah’ keluar dari mulutnya.
“Rasanya mana-mana lelaki pun tak layak untuk dia. Saya perhatikan, kehadiran lelaki membuatkan hidup mama jadi kusut, tak baik.
“Dia pun dah berumur, cukuplah ada saya dan adik untuk hidup bersama,”katanya.
Mengaku menyimpan begitu banyak rahsia besar ibu, Cik B dalam kebanyakan masa tidak mahu melihat ibunya terus sakit dan terluka.
“Saya tak boleh tengok dia menangis dan akan turut sebak serta sedih juga. Sebab itulah saya katakan mama nampak sahaja macam kuat, hati wanitanya tetap boleh rapuh,”ujarnya.
Dalam pada itu, gadis berusia 15 tahun ini melahirkan rasa syukur lantaran langkah pertamanya dalam bidang lakonan menerusi drama 13 episod berjudul Lelaki Lingkungan Cinta mendapat sambutan hangat.
Berterima kasih kepada sokongan ibunya yang bersungguh-sungguh ‘memaksanya’ berlakon, Cik B gembira percubaannya sebagai Maria membuahkan hasil.
“Tak sangka juga rupa-rupanya saya ada bakat lakonan. Betul lah orang kata, kalau tak digilap kita tak akan tahu. Ini semua atas kepercayaan mama dan semua pihak.
“Selepas ini kalau ada tawaran lakonan, nak cuba lagilah!”ucapnya.
Dua personaliti berbeza
Menyedari dia tidak boleh lari daripada bayangan kuat Datuk Seri Vida, Cik B mengandaikan dirinya adalah seorang yang berbeza personaliti dengan ibunya itu.
Dari kaca matanya, wanita tersebut adalah seorang yang berdikari, happy go lucky tetapi di sebalik hilai tawa dan kegedikan yang dipaparkan, Cik B sendiri mengakui cukup banyak keperitan dan kesedihan yang disembunyikan di belakang nama Vida itu.
“Dia lalui banyak perkara dalam hidup dan bagi saya, mungkin orang lain tak mampu menjadi macam dia. Tetapi untuk segala ujian yang dia lalui, saya tahu Allah SWT kurniakan mama ganjaran yang lebih lagi.
“Berbanding dirinya, saya seorang yang pemalu dan pendiam. Orang kata saya nampak matang daripada usia sebenar, tanggapan itu ada betul dan salahnya.
“Mungkin luaran sahaja nampak matang. Hakikatnya, kalau berada dalam kalangan keluarga atau orang yang saya selesa, sifat manja dan kebudak-budakan masih ada,” katanya. – Mingguan Malaysia










