Mesir tiada ‘semangat Firaun’ - Utusan Malaysia

Mesir tiada ‘semangat Firaun’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERTAMA dan terakhir saya berkunjung Mesir ialah pada tahun 2004. Segalanya berkejaran datang. Inilah bumi Samia Gamal, bintang filem dan penari gelek yang diminati. Begitu juga Ummi Kalthum, penyanyi paling menawan.

Tidak kurang Muhammad Abdel Wahab dan Farid El Atarash selaku pelakon filem dan penyanyi yang diminati secara meluas.

Kecil-kecil lagi saya sudah menengok gambar-gambar mereka dari majalah dan akhbar dipotong dan ditampalkan di dinding oleh abang saudara saya, menghiasi biliknya. Apabila membesar sedikit, saya menonton filem-filem mereka di sinema Sultana di Kuantan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Waktu itu filem-filem Melayu terbitan Shaw dan Cathay-Keris belum ditayangkan kerana sinema kedua syarikat filem itu belum ada.

Apabila filem-filem Hollywood ditayangkan pada hari raya, ia diikuti oleh filem-filem Mesir yang dibintangi Abdel Wahab, Atarash dan Samia Gamal. Orang-orang kampung menjadi ‘demam’ menonton filem mereka.

Begitu ghairah diceritakan orang tentang Samia Gamal. Dia seorang yang amat cantik.

Gelekannya menari menggayakan badan berbentuk gitar dengan hanya menutup payu dara dan paras bawah pusat hingga ke peha, sedangkan kain jarang bergantung dari bahu, meyakinkan saya bahawa beliau bukan orang Islam. Memang ramai orang Mesir beragama Kristian.

Jika bercium mulut berupa adegan biasa dalam filem-filem Barat, begitu jugalah adegan bercium Samia dalam filemnya. Ia sudah cukup untuk memberikan gambaran bahawa Mesir adalah negara liberal yang boleh mengikuti cara hidup Barat.

King Farouk pula menguatkan anggapan begitu. Berita dan gambar di muka media menunjukkan beliau kerap berpakaian Barat di tengah-tengah jelitawan Barat, baik di Mesir mahupun di Paris, Rom dan Madrid.

Abdel Wahab dan Farid seolah-olah seperti P. Ramlee dan Clark Gable, bintang Hollywood, dari segi tarikan penonton terhadap mereka, sekurang-kurangnya di Tanah Melayu dan Singapura.

Namun gah dalam dunia hiburan tidak setimpal dengan prestasi politiknya. Kemasyhuran pelbagai Firaun, termasuk Cleopatra sejak 4,000 tahun dahulu, tidak mencerminkan prestasi Mesir 100 tahun terakhir.

Turun naik raja yang berkuasa mutlak hanya berkemuncakkan kejatuhan King Farouk pada tahun 1952 setelah Mesir kalah perang dengan Israel.

Kemutlakan raja tidak membuka peluang bagi rakyat bermesra dengan amalan demokrasi. Alternatifnya berlaku rampasan kuasa oleh tentera yang menonjolkan Gamal Nasser. Beliau tanpa pengalaman rempah ratus demokrasi hanya mengulangi pemerintahan autokrasi.

Pada awalnya kata-kata benci kepada penjajah British dan Perancis digemari rakyat, tetapi lama kelamaan ia menjadi momokan.

Ketiadaan suara rakyat dalam pemerintahan negara hanya ulangan kepada kuasa mutlak raja. Nasser apabila meninggal digantikan oleh pemimpin tentera juga, Anwar Sadat.

Budaya pemerintahan tentera, seperti dalam pelaksanaan disiplin, berdasarkan command atau arahan. Apabila meletup tindakan rakyat terhadap sikap melampau Presiden Mubarak, bekas pemimpin tentera, demokrasi diperkenal bak ‘kopi segera’.

Pilihan raya pertama menyaksikan Morsi menjadi Presiden. Keengganan tentera menerima Morsi mengakibatkan Jeneral Sisi merebut kuasa.

Dunia tahu tindakan Sisi direstui AS, British dan Perancis yang amat bimbang Morsi dengan Muslim Brotherhood atau Ikhwanul Muslimin akan menggugat kepentingan Barat di bumi Arab. Justeru bantuan AS kepada Mesir AS$1 bilion dolar menjadi AS$3 bilion dolar setahun.

Kunjungan saya ke Tunisia dan Maghribi menunjukkan kedua-duanya akur kepada AS dan Barat. Algeria diselitkan di jari-jari Perancis selaku bekas penjajahnya bagi pihak kuasa Barat.

Gaddafi di Libya yang ditumbangkan AS menjadikan negara hilang maya di bawah otek-otek AS.

Syria yang gigih terpaksa mengalami rodokan AS dan sekutu Baratnya demi Israel. Tidak mungkin berpuluh ribu pemberontak yang menganggur boleh bersenjata canggih bertahun-tahun menentang kerajaan jika tiada bantuan AS dan Barat.

Justeru Mesir hanya berperanan mengatur adik-kakak Arab menyokong AS dan Israel, demi kemudahan pengeluaran dan penjualan minyak untuk kelunakan bersama. Untuk itu regu Mesir-Saudi sayugia menghadapi soalan: bolehkah mereka menjadi benteng dunia Islam?

TAN SRI ADAM KADIR ialah bekas Ahli Kabinet dan Presiden Senat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini