KLANG 19 Jun – Salah seorang penduduk yang merupakan jiran mangsa dua beranak yang ditemukan rentung dalam kebakaran di Lorong Hj. Yaacub, Kampung Sungai Udang di sini pagi tadi terdengar bunyi letupan.
Aminahyus Yuswadi,54, berkata, ketika kejadian dia tengah solat Subuh dan tiba-tiba terdengar bunyi letupan dari bahagian luar rumah seakan-akan mercun.
“Pada masa itu, suami menjerit dan memberitahu bahawa berlaku kebakaran. Saya hanya sempat mengambil pasport manakala suami pula menyelamatkan motosikal.
“Buat masa ini, saya tidak tahu berapa kerugian tetapi ada menukar wang Indonesia selain ada simpanan duit Malaysia yang diletakkan dalam bekas. Malah, saya juga ada membeli beberapa barangan untuk dibawa pulang ke Indonesia,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Dalam pada itu, Aminahyus berkata, dia sangat terkejut dengan kejadian selain tak sangka jiran menjadi mangsa.
“Baru beberapa hari lepas saya ada berjumpanya ketika pulang daripada bekerja dan dia ada menegur.
“Saya dimaklumkan mungkin kami semua akan ditempatkan di dewan sementara. Anak-anak ada tinggal di Banting tetapi agak susah kerana saya bekerja di sekitar sini di kilang perabot,” ujarnya.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi, dua beranak iaitu Sulastri Setro dan Wahyu Mohd. Asraf merupakan warga Indonesia maut dalam keadaan memilukan apabila ditemukan rentung dalam bilik air selepas rumah sewanya terbakar dalam satu kejadian di Lorong Hj. Yaacub, Kampung Sungai Udang di sini pagi tadi. – UTUSAN ONLINE











