PULAU PINANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua warga Thailand kerana didapati tidak memiliki permit sah untuk bekerja di atas bot nelayan tempatan kelmarin.
Kedua-dua mereka yang berusia 30 tahun itu ditahan pada jarak 2.7 kilometer dari barat Kuala Muda, di sini oleh bot peronda milik Maritim Malaysia pada pukul 11 pagi ketika sedang bekerja di atas bot nelayan tempatan kelas A.
Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan rondaan rutin di perairan Pulau Pinang telah melakukan pemeriksaan bot tersebut dan mendapati kedua-dua warga Thailand itu tidak memiliki permit sah untuk bekerja di atas bot tersebut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu pemilik bot tidak mengusahakan sendiri bot dan Akta Imigresen 1963 kerana tekong serta awak-awak tidak mempunyai kebenaran bekerja di perairan Malaysia.
“Bot berkenaan beserta tekong dan seorang awak-awak diiringi ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, pemilik bot harus mematuhi peraturan-peraturan dalam buku lesen vesel yang dikeluarkan Jabatan Perikanan.
“Maritim Malaysia akan terus menggandakan usaha bagi mencegah berlakunya sebarang kesalahan di laut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau meminta orang awam bekerjasama dalam melaporkan sebarang kejadian menyalahi undang-undang, kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 / 04-2643650. – UTUSAN ONLINE











