KANGAR – Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim kesal kerana wujudnya banyak kawasan setinggan dihuni warga Myanmar di atas tanah kerajaan di sekitar kawasan Kuala Perlis di sini, yang didakwa telah berlaku sejak tiga tahun lalu.
Justeru, Shahidan menegaskan, bahawa beliau akan membuat laporan kepada pihak berwajib agar tindakan segera diambil memandangkan jumlah warga asing itu dilihat sudah melebihi penduduk Kuala Perlis pada masa ini.
Katanya, kawasan yang dijadikan penempatan itu adalah tanah kerajaan dan perkara tersebut tidak boleh dibiarkan berlarutan.
“Mana pegawai-pegawai agensi-agensi berkaitan, tidak ambil tindakankah? Cuba pergi tengok di kawasan Kuala Perlis itu, banyak setinggan dihuni oleh warga Burma (Myanmar),” katanya di sini hari ini.
Tambah beliau, kedatangan warga Myanmar di Kuala Perlis perlu segera dikawal.
Selain itu, Shahidan juga mendakwa, terdapat individu yang membina kolam ikan di kawasan tanah kerajaan di Kuala Perlis tanpa kebenaran.
“Kerajaan negeri sepatutnya menyewakan kawasan berkenaan seterusnya memperolehi cukai. Mereka didapati duduk (beroperasi secara percuma) tidak ikut peraturan.
“Bagaimana hendak dapat hasil cukai yang tinggi jika kerajaan tidak boleh uruskan perkara ini,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











