KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya melonjak sebanyak 43 tangga iaitu peningkatan tertinggi antara semua universiti dalam negara kepada kedudukan ke-159 terbaik dunia dalam penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2020.
Kedudukan tersebut juga membuatkan universiti berkenaan berada di tempat kedua terbaik negara di belakang Universiti Malaya (UM) yang menduduki tangga ke-70 dan di hadapan universiti lain termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di tempat ke-160, Universiti Sains Malaysia (USM) pada kedudukan ke-165 serta Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di tangga ke-217.
Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Aini Ideris turut memberitahu universiti tersebut berjaya mencatatkan indikator bagi ‘Pelajar Antarabangsa’ tertinggi dalam negara dengan menduduki ranking ke-135 dunia di hadapan Universiti UCSI (142) dan Universiti Taylor’s (162).
Selain itu, kata Aini, juga mencapai sasaran untuk berada dalam senarai 200 universiti terbaik dunia QS melalui inisiatif Putra@Global 200 (PG200) yang menjadi aspirasi penting dalam Pelan Strategik UPM 2014-2020.
“Secara keseluruhan, ini adalah pencapaian terbaik UPM sejak penyertaan pertama dalam ranking ini selepas mencatat prestasi kenaikan selama enam tahun berturut-turut.
“Pencapaian cemerlang ini membolehkan UPM menetapkan matlamat baharu dalam pelan transformasi selaras dengan peranan universiti dan asas-asas pendidikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











