KUANTAN – Muktamar Dewan Pemuda Pas Kali Ke-60 hari ini menggariskan empat prinsip yang perlu dipegang dalam menjayakan kesepakatan dan kesatuan.
Ketua Dewan Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, prinsip itu adalah kesepakatan atas dasar menegakkan keadilan yang lebih komprehensif dalam Islam; kesepakatan dan perpaduan yang tidak disandarkan kepada perkauman; memfokuskan agenda penyelesaian isu-isu rakyat tanpa mengira ideologi dan keikhlasan.
Katanya, jika dicernakan sebaiknya prinsip itu mampu membentuk kesepakatan yang utuh, memenangi hati rakyat dan seterusnya mengambil alih Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.
“Bagi Dewan Pemuda Pas, kesepakatan ini membawa sinar baharu kepada Malaysia dan kami memberi jaminan sama ada kami berada di luar atau di dalam kerajaan, perjuangan kebenaran akan tetap kami dukung.
“Dewan Pemuda Pas akan menjadi platform utama anak muda menyalurkan suara, pandangan dan kritikan agar mereka juga boleh menyumbang dalam pembangunan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Ke-59 di Pusat Konvensyen Bukit Gambang Resort City (BGRC) di sini hari ini.
Muhammad Khalil turut berikrar, Dewan Pemuda akan memastikan polisi-polisi yang sedia ada dan yang akan diperkenalkan bakal ditambahbaik dengan menerapkan prinsip dan dasar Islam yang lebih adil.
Di samping itu katanya, sayap itu juga akan terus menjadi pemangkin dalam memupuk semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat khususnya anak muda melalui aktiviti dan program-program yang dijalankan. – UTUSAN ONLINE











