Dalam pasaran saham, adalah sukar untuk menjangkakan kejatuhan berbanding meramal pergerakan menaik.
Contoh paling ketara, semasa keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu yang mana hampir kesemua pelabur dan pedagang saham tidak menduga kekalahan Barisan Nasional (BN).
Keadaan itu mengakibatkan pasaran saham negara mengalami kejatuhan teruk sehingga banyak saham syarikat tersenarai mengalami kejatuhan sehingga kepada kejatuhan limit-down. Paling terkesan, saham-saham berkaitan kerajaan atau syarikat milik kerajaan (GLC).
Selain itu, pengumuman pembatalan projek mega yang dilaksanakan kerajaan terdahulu sekali lagi memberi tempias atau impak negatif ke atas syarikat-syarikat terlibat dalam projek tersebut, justeru, saham-saham syarikat tersenarai terbabit turut jatuh merudum kesan daripada keputusan tersebut.
Setiap kali pengumuman dibuat yang berbentuk negatif bersangkutan dengan dasar-dasar kerajaan dalam perancangan atau penstrukturan ekonomi bakal memberi impak yang amat besar ke atas iklim pasaran.
Tidak dinafikan, selain daripada penyertaan institusi tempatan menyokong pasaran tempatan, pasaran negara kita juga memerlukan penyertaan pelabur asing dalam jumlah yang besar.
Kemasukan pelabur asing secara besar-besaran bakal memberi impak yang sangat besar ke atas pasaran tempatan. Penyertaan ini akan merangsang pergerakan harga saham ke arah aliran menaik.
Sebaliknya, penarikan dana asing daripada pasaran atau penjualan pelabur asing secara besar-besaran boleh mendatangkan impak yang besar ke atas pasaran saham tempatan.
Ia boleh mengakibatkan harga saham syarikat tersenarai jatuh, kesan daripada pengaliran keluar dana asing. Sehubungan itu, pelabur dan pedagang saham perlu mengambil tahu peranan pelabur asing dalam pasaran tempatan.
Perkara-perkara yang boleh dilakukan semasa berada dalam suasana pasaran tidak menentu:
Tunggu dan lihat
Ramai pelabur dan pedagang saham yang apabila pasaran menjadi perlahan atau mendatar pergerakannya, mereka akan menjadi resah dan gelisah. Mereka tidak memiliki perasaan tenang, selalu merungut dan hilang kesabaran.
Untuk melatih diri bersabar dan mengawal emosi ialah dengan mengambil tindakan tunggu dan lihat. Menunggu jika ada isyarat membeli apabila pemangkin positif datang semula ke pasaran.
Sertai kelas atau seminar
Cuba sertai kelas atau seminar pendidikan saham terutama yang percuma dan baca artikel atau berita berkenaan pasaran saham. Dalam masa sama, ambil peluang belajar semasa pasaran lemah atau tidak aktif sebagai persediaan menghadapi suasana apabila pasaran kembali rancak.
Semasa pasaran lemah atau menurun, pelabur dan pedagang saham tidak perlu menumpukan sepenuh masa melihat pergerakan saham. Maka, pelabur dan pedagang saham dapat belajar secara perlahan-lahan semasa keadaan ini.
Buat senarai
Jika boleh, buat senarai saham-saham yang ingin dibeli jika mempunyai peluang atau pasaran kembali aktif. Pelabur dan pedagang saham boleh membuat persediaan awal senarai-senarai saham yang ingin dibeli. Terdapat banyak kaunter yang bergerak seiring pergerakan indeks pasaran FBM KLCI.
Pelabur boleh membuat pemerhatian kaunter-kaunter tersebut dan menyenarai pendek. Tidak lupa juga, perhatikan saham-saham yang jatuh dengan banyak. Ini bertujuan untuk menghafal saham syarikat tersenarai yang harganya akan memantul dengan cepat apabila pasaran pulih atau mengalami pantulan teknikal.
Rutin seperti biasa
Cuba jalani kehidupan seharian seperti biasa tanpa terlalu kerap melihat pergerakan saham di skrin komputer atau telefon bimbit. Pelabur dan pedagang saham mempunyai banyak masa untuk membuat aktiviti atau pekerjaan lain semasa pasaran lemah atau mendatar.
Dalam keadaan ini, pelabur dan pedagang saham juga boleh mengambil peluang berehat dan menenangkan fikiran kerana semasa pasaran aktif, banyak tenaga dan masa digunakan kerana memberi tumpuan sepenuhnya kepada pasaran.
Pelabur dan pedagang saham perlu menerima hakikat bahawa pergerakan pasaran boleh menjadi rancak, perlahan mahupun menurun dalam tempoh singkat, sederhana dan panjang. Oleh itu, dengan adanya maklumat dan bimbingan seperti ini menjadikan pelabur dan pedagang saham bijak dan dapat membuat keputusan dengan tenang dan tepat.











