KUALA LUMPUR 18 Jun – Malaysia mencatatkan pelaburan berjumlah RM2.8 bilion menerusi 350 projek daripada syarikat Australia setakat 2018.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Abdul Majid Ahmad Khan berkata, projek-projek berkenaan telah mencipta sebanyak 22,000 peluang pekerjaan di negara ini.
Katanya, setakat 2018 juga sebanyak 382 projek berkaitan peralatan perubatan telah dilaksanakan dengan pelaburan bernilai RM18.4 bilion dan 71,000 peluang pekerjaan.
“Untuk suku pertama 2019 pula, MIDA telah meluluskan enam lagi projek peralatan perubatan bernilai RM309.3 juta,” katanya pada majlis perasmian Pusat Pemulihan Global Cochlear di sini hari ini.
Yang turut hadir, Naib Presiden Kanan Rantaian Bekalan dan Kecemerlangan Operasi Cochlear, Greg Bodkin dan Pengarah Cochlear Malaysia Operations, Samuel Pooranakaran.
Sementara itu, Pooranakaran berkata, Coachlear Malaysia merupakan sebahagian daripada perniagaan global kumpulan dan telah membuat pelaburan kira-kira satu juta dolar Australia (RM2.86 juta) di negara ini.
Beliau berkata, pembukaan fasiliti pembaikan baharu bagi penyelesaian pendengaran implan itu merupakan satu langkah besar yang diambil kumpulan untuk mengintegrasikan pusat pembaikan globalnya di satu kawasan utama.
Katanya, ia mengumpulkan lapan pusat pembaikan Coachler global ke dalam satu kemudahan bertaraf dunia di Kuala Lumpur.
“Bandar raya ini telah membuktikan ia sesuai untuk menjadi pusat perkhidmatan dan sokongan global kami dan Malaysia akan terus menjadi sebahagian daripada rangkaian operasi terpenting kami,” katanya.
Beliau berkata, pusat pembaikan global Cochlear di Kuala Lumpur telah ditubuhkan pada 2010 dan sehingga kini memberi 195 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.











