KUANTAN – Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Ke-60 bermula hari ini yang turut menyaksikan bakal berlakunya perubahan kepemimpinan sayap Pas berkenaan selepas persidangan dua hari di Bukit Gambang Resort City (BGRC) di sini itu berakhir esok.
Dewan Pemuda merupakan sayap kedua Pas yang mengadakan muktamar tahun ini selepas Dewan Muslimat Pas menyelesaikan persidangan tahunannya Sabtu lepas.
Ketua Dewan Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi menyampaikan ucaptama pada pukul 9.30 pagi.
Ia merupakan ucaptama terakhir Muhammad Khalil di pentas Pemuda Pas selepas mengetuainya sejak 2017 dengan menang jawatan tersebut tanpa bertanding menggantikan Nik Mohd. Abduh Nik Abdul Aziz.
Selepas sepenggal mengetuai Dewan Pemuda Pas, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk itu memutuskan tidak mempertahankan jawatan berkenaan dalam pemilihan parti kali ini bagi memberi ruang dan peluang kepada kepemimpinan baharu menerajui sayap berkenaan dengan bertanding Ahli Jawatankuasa Pas.
Muka baharu menggantikan beliau yang menang tanpa bertanding akan diumumkan secara rasmi pada persidangan kali ini bersama senarai Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda Pas Sesi 2019-2021.
Selepas ucaptama, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man akan menyampaikan ucapan perasmian Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Ke-60 di hadapan 721 perwakilan.
Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian anugerah khas dan sidang muktamar dijadual pada pukul 2 petang dengan sesi perbahasan ucaptama Ketua Pemuda Pas bermula dari pukul 5.30 petang hingga 11 malam.
Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Ke-60 dijadual bersambung pada pukul 9 pagi esok dengan perbahasan usul-usul diikuti pengumuman keputusan pemilihan Jawatankuasa Kerja sayap berkenaan untuk penggal baharu sebelum ucapan penangguhan perwakilan.
Persidangan itu dijadual diakhiri dengan ucapan penangguhan Naib, Timbalan dan Ketua Pemuda Pas. – UTUSAN ONLINE











