PERTUBUHAN Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mempunyai 193 negara anggota. Daripada jumlah itu, 73 negara masih menjadikan perlakuan liwat dan seks sejenis sebagai jenayah.
Maknanya, kira-kira 60 peratus negara di dunia telah membenarkan orientasi seks sejenis di sisi perundangan selagi dilakukan secara ‘suka sama suka’.
Hakikatnya, seks sejenis ditolak zaman berzaman di seluruh dunia, namun peredaran masa atas nama ‘hak asasi’ menyaksikan satu demi satu negara bermula di Barat tidak lagi menjenayahkan homoseksual.
Denmark melakukannya pada 1930-an lagi dan titik tolak kepada kejayaan pejuang hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) adalah apabila Britain melakukannya kira-kira separuh abad lalu.
Sedangkan banyak negara menjadikan homoseks sebagai jenayah kerana mewarisi perundangan British yang memperkenalkan undang-undang berkenaan pada abad ke-16.
Memetik laporan media antarabangsa, separuh daripada kira-kira 70 negara yang masih menjenayahkan homoseksual adalah bekas jajahan British termasuk Malaysia dan India.
Terbukti meliwat, hukumannya penjara di kebanyakan negara ini. Malah ada beberapa negara Islam yang memperuntukkan hukuman mati seperti Arab Saudi dan Iran.
Di Malaysia, perbuatan seks luar tabii diperuntukkan dalam Seksyen 377B dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan. Hukumannya penjara serta sebat, ada dua tahun dan jika melibatkan paksaan boleh sehingga maksimum 20 tahun.
Soal pelaksanaan satu bab, tetapi undang-undang ini harus kekal di Malaysia. Memang asakan untuk tidak lagi menjadikan homoseks dan liwat satu jenayah cukup kuat hasil gerakan tersusun di seluruh dunia.
Hasil daripada gerakan mereka menyaksikan undang-undang menghukum perbuatan homoseks dilihat bertentangan dengan hak asasi manusia sejagat. Di India serta negara-negara Afrika juga berdepan asakan ini dengan undang-undang berkenaan dicabar di mahkamah.
Terbaharu awal bulan ini, Botswana sebuah negara bukan Islam yang juga bekas jajahan British di Afrika telah memansuhkan undang-undang menjenayahkan homoseksual menerusi keputusan mahkamah negara itu.
Antara intipati penting yang dibangkitkan di mahkamah, bukan untuk menerima homoseksual tetapi bertoleransi kepada kehendak seksual golongan itu.
Kejayaan ini disambut girang pejuang LGBT di benua Afrika dan seluruh dunia. Di negara yang sudah membenarkan homoseks, mereka mendesak pula pengiktirafan perkahwinan sejenis.
Ada 26 negara dikatakan sudah membenarkannya dan kebanyakannya negara Barat.
Di Malaysia, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menegaskan setiap negara bebas menolak pengaruh Barat termasuk menolak gaya hidup songsang LGBT yang sangat tidak sesuai dengan amalan dan budaya rakyat negara ini.
Kenyataan Dr. Mahathir di London itu cukup sebagai peringatan bahawa homoseks, LGBT tetap tidak boleh diterima di Malaysia walau apa pun asakan Barat dan perkembangannya di seluruh dunia.-UTUSAN ONLINE











