KAHERAH 18 Jun – Bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi meninggal dunia selepas jatuh sakit ketika menghadiri perbicaraan mahkamah di Kaherah semalam.
Pendakwa raya awam memaklumkan, Mohamed tiba-tiba pengsan di kandang tertuduh dan disahkan meninggal dunia pada pukul 4.50 petang waktu tempatan.
Tambah pendakwa raya seperti dipetik oleh al-Jazeera, laporan perubatan menunjukkan tiada kesan kecederaan pada badan Mohamed.
“Beliau meninggal dunia ketika menghadiri sesi perbicaraan berhubung kes pengintipan. Ketika sesi berkenaan, beliau diberi kebenaran untuk bercakap dengan hakim.
“Selepas sesi ditangguhkan, Mohamed pengsan dan kemudiannya meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital,” jelas seorang penyampai berita stesen televisyen tempatan.
MOHAMED ‘MATI SYAHID’
Anak kepada bekas Presiden berkenaan, Abdullah memaklumkan kepada Reuters, pihak berkuasa enggan membenarkan Mohamed dikebumikan di tanah perkuburan keluarganya.
Mohamed selamat dikebumikan hari ini di Medinant Nasr, timur Kaherah dengan dihadiri ahli keluarganya.
“Solat jenazah diadakan di Hospital Penjara Tora,” jelas peguam, Abdel Moneim Abdel Maksoud.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan merupakan pemimpin dunia yang pertama memberikan penghormatan kepada Mohamed dan menyifatkan bekas Presiden Mesir itu ‘mati syahid’.
“Semoga Allah merahmati roh beliau,” kata Recep Tayyip yang mempunyai hubungan rapat dengan Mohamed.
Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani turut melahirkan rasa duka terhadap pemergian Mohamed.
DISEKSA DI PENJARA?
Mohamed mempunyai sejarah masalah kesihatan termasuk menghidap penyakit kencing manis, hati dan buah pinggang.
Beliau tidak menjalani sebarang rawatan ketika dipenjarakan sejak hampir enam tahun lalu selepas digulingkan tentera pada 2013 berikutan gagal menyediakan kelengkapan perubatan mencukupi di penjara.
Terdapat beberapa laporan sejak beberapa tahun lalu mendakwa, Mohamed tidak dilayan dengan baik dan diseksa di penjara.
Semalam, kumpulan aktivis mendesak agar kematian Mohamed dilihat dari konteks sistem pengasingan dan layanan buruk terhadap tahanan politik oleh pihak berkuasa Mesir.
Kumpulan Human Rights Watch (HRW) menyifatkan berita kematian pemimpin itu sebagai ‘menyedihkan’ tetapi ‘sudah dijangka’ selain mendakwa kerajaan Mesir gagal untuk memberikan rawatan yang sewajarnya terhadap beliau.
“Kerajaan Mesir hari ini bertanggungjawab terhadap kematiannya selepas mereka gagal untuk menyediakan rawatan perubatan terhadapnya atau hak asas banduan,” jelas HRW dalam satu kenyataan kepada al-Jazeera.
MILIKI PHD DI AS
Tahun lalu, laporan yang dikeluarkan oleh tiga anggota Parlimen Britain, di bawah Panel Semakan Tahanan Bebas, memberi amaran kekurangan rawatan perubatan boleh menyebabkan ‘kematian pramatang’ Moha-med.
“Kesimpulan kami adalah benar. Kegagalan memberikan rawatan perubatan asas yang beliau berhak boleh menyumbang kepada kematiannya. Mereka yang terbabit termasuk Presiden ketika ini perlu bertanggungjawab,” kata Pengerusi panel tersebut, Crispin Blunt.
Anggota panel itu dihalang daripada berjumpa dengan Mohamed dan hanya berpandukan kepada testimoni, kenyataan saksi, laporan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta bukti yang diserahkan secara persendirian.
Tambah panel itu, Mohamed ditahan dalam sel pengasingan selama 23 jam sehari.
“Perbicaraan Mohamed tidak ditayangkan secara langsung di televisyen, beliau dikurung dalam kandang kaca yang kalis bunyi,” kata wartawan al-Jazeera, Jamal Elshayyal.
Mohamed merupakan Presiden Mesir pertama yang dilantik secara demokrasi pada 2012, setahun selepas pemberontakan Arab Spring yang menyaksikan kejatuhan Hosni Mubarak setelah memerintah selama 30 tahun.
Dilahirkan di perkampungan El-Adwah pada 1951, beliau menyambung pengajian dalam jurusan kejuruteraan di Universiti Kaherah sebelum berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) untuk Ijazah Kedoktoran (PhD).











