PUTRAJAYA – Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia akan mengeluarkan satu garis panduan dalam masa terdekat bagi menangani aktiviti pembalakan dan pengeluaran hasil hutan tidak terkawal.
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A Xavier Jayakumar berkata, pihaknya juga akan mencadangkan pindaan terhadap Akta Perhutanan Negara 1984 bagi membolehkan garis panduan itu dimasukkan ke dalam akta berkenaan.
“Garis panduan itu akan menyenaraikan peraturan serta panduan yang boleh menjadi rujukan kerajaan negeri dan kita sedia maklum, hal tanah adalah bidang kuasa mereka dan pemberian kuasa serta lesen pembalakan adalah hak negeri.
“Terpulang kepada kerajaan negeri bagaimana mahu menggunakan atau mengeluarkan hasil hutan, namun kita tidak boleh paksa kalau mereka tidak mahu mengikut garis panduan itu kerana kerajaan Pusat tidak ada kuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sambutan Majlis Kongsi Raya Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, garis panduan berkenaan antara lain akan menyentuh mengenai kawalan bagi pengeluaran hasil hutan termasuk larangan di kawasan sensitif seperti tadahan air. – UTUSAN ONLINE.











