KUALA LUMPUR – Isu kaedah pemberian subsidi peterol RON95 bersasar bagi golongan B40 akan dimuktamadkan pada bulan ini.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, beliau akan bertemu dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk membawa kertas kerja berkenaan sebelum dibawa ke Kabinet.
“Perkara seperti kaedah pemeberian subsidi, formula, jumlah penerima yang layak, data pengguna dan syarikat pengendali stesen minyak akan dimuktamadkan dalam pertemuan tersebut.
“Walau bagaimanapun, kami masih menunggu maklum balas daripada pihak Kementerian Kewangan untuk menentukan tarikh pertemuan pada bulan ini juga,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar ketika menghadiri majlis Rumah Terbuka Hari Raya anjuran Pembangunan Industri Kewangan Malaysia (MIDF) hari ini.
Tambah beliau, pertemuan dengan beberapa pihak termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) dan persatuan pengguna sudah pun dilakukan bagi mengenalpasti formula penyampaian subsidi.
“Kami sudah melepasi tahap itu, justeru dalam pertemuan tersebut hanya perkara ini sahaja akan dibincangkan untuk dimuktmadkan nanti,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











