Mimos nafi pemecatan pegawai untuk tutup penyelewengan - Utusan Malaysia

Mimos nafi pemecatan pegawai untuk tutup penyelewengan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Agensi penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara, Mimos Bhd. (Mimos) menafikan pemecatan empat pegawai tertingginya, April lalu sebagai satu usaha menutup penyelewengan melibatkan dana perbelanjaan R&D.

Memetik laporan portal The Edge Markets, Mimos menegaskan panel siasatan dalaman yang ditubuhkan agensi tersebut mendapati empat pegawai tertinggi termasuk Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya telah melanggar polisi dan tatakelakuan syarikat sekali gus membawa kepada pemecatan mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mimos menafikan dakwaan mana-mana pihak bahawa pemecatan empat pegawai tertinggi termasuk Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif itu sebagai cubaan melindungi sesuatu. Laporan dua akhbar berbahasa Melayu yang memetik sebuah parti politik mendakwa empat pegawai itu dipecat sebagai mahu menutup pekung penyelewengan.

“Empat pegawai itu berdepan pemecatan selepas siasatan menyeluruh yang dilakukan pasukan audit dalaman Mimos. Siasatan dalaman dilakukan dengan penuh telus dan bebas tanpa ada campur tangan pihak pengurusan dan ahli lembaga pengarah Mimos. Wakil-wakil kanan kerajaan juga terlibat sama sebagai panel siasatan dalaman,” katanya dalam kenyataan minggu lalu.

Setiausaha Agung Parti Negara, Abdul Ghani Haroon minggu lalu menggesa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri supaya mengambil tindakan segera terhadap dakwaan wujudnya penyelewengan dalam Mimos selepas agensi tersebut mengambil keputusan memecat empat pegawai tertingginya.

Abdul Ghani turut menggesa kementerian bertindak mengambil alih pengawasan pengurusan tertinggi dengan kadar segera kerana dipercayai wujudnya komplot peringkat tertinggi yang mahu menutup pekung penyelewengan itu dan membiarkan mereka terus berkuasa di Mimos.

Dalam pada itu, Mimos memberitahu kesemua pegawai tertinggi itu telah diberi banyak peluang untuk membela diri di setiap peringkat tindakan disiplin dengan agensi tersebut berbangga mengikut segala prosedur dalam melayani pegawai dengan hormat dan adil.

“Mimos sentiasa tegas dalam mematuhi amalan pentadbiran korporat di samping mematuhi polisi dan garis panduan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Kewangan. Mana-mana pelaksanaan projek dan pemberian kontrak sentiasa tertakluk kepada proses kawalan dalaman dan garis panduan perbendaharaan kerajaan.

“Mimos juga telah mendapatkan nasihat perundangan dan akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas sesiapa yang bertanggungjawab membuat dakwaan seperti itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini