KUALA LUMPUR – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali digesa untuk meletak jawatan dalam Kabinet sekiranya klip video seks intim yang tular itu terbukti tulen.
Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak turut meminta agar Timbalan Presiden PKR itu mengambil tindakan undang-udang terhadap Haziq Abdullah Abdul Aziz kerana mendakwa dirinya telah melakukan hubungan seks dengan beliau.
“Biarkan polis menyiasat, tetapi jika terbukti bahawa beliau (Mohamed Azmin) adalah orang dalam video itu, saya rasa dia harus meletakkan jawatan,” katanya yang dipetik portal Free Malaysia Today di sini hari ini.
Sebelum ini, seorang pengerusi PKR negeri dipercayai Farhash dikatakan telah menghilangkan diri sebaik sahaja seorang individu menyerupai Mohamed Azmin menerusi video itu tular dalam media sosial.
Farhash juga dikatakan berada bersama Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah yang mengaku sebagai pelaku dalam video intim tersebut ketika ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang pada 14 Jun lalu ketika mahu menaiki penerbangan ke Manila.
Dalam pada itu, Farhash turut menafikan dakwaan dirinya telah melarikan diri ke luar negara serta berada bersama Haziq Abdullah ketika ditangkap di KLIA2, Jumaat lalu.
“Saya tidak terlibat sama sekali. Saya tidak tahu di mana mereka mendapat maklumat kerana saya tidak berada di KLIA. Saya berada di tempat-tempat yang saya selalu pergi.
“Saya tidak tahu bagaimana nama saya berakhir dalam campuran. Ini semua tidak masuk akal,” katanya. – UTUSAN ONLINE











