TEMERLOH – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub meminta laporan siasatan ke atas sembilan syarikat yang membekalkan benih padi disegerakan.
Beliau berkata, siasatan yang dilakukan oleh pasukan khas diketuai Timbalan Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Salim Parjan penting dalam usaha mengatasi masalah benih padi yang tidak berkualiti.
“Kita kena tegas, dalam isu ini tidak boleh lagi bertolak ansur kerana lama sangat. Sudah berpuluh tahun kita mendengar pesawah-pesawah menghadapi isu benih padi ini.
“Laporan akan sampai kepada saya dalam masa terdekat dan kita akan pastikan pada masa akan datang isu ini akan dapat dikawal kalau tidak sepenuhnya tetapi semaksimum mungkin. Saya mahu perkara ini dikawal sepenuhnya,” katanya dalam sidang akhbar pada sambutan Hari Raya Aisilfitri Lestarry Heights di Mentakab dekat sini hari ini.
Yang hadir sama.Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd. Anuar Tahir; Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Hamid Bahari; Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Faiz Fadzil dan Ketua Pengarah, LKIM, Jamaludin Othman.
Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan rintihan petani yang mahu kerajaan mencari jalan penyelesaian masalah pembekalan benih padi tidak berkualiti yang menjadi antara punca para petani gagal mendapatkan hasil tanaman baik.
Seorang petani, Zamzuri Ishak,35, berkata, msalah yang berlarutan sejak sekian lama itu perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum kerajaan bercadang membantu para petani meningkatkan hasil pendapatan mereka. – UTUSAN











