GUA MUSANG – Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menyerahkan kepada Jabatan Kesihatan negeri untuk meneliti serta memantau rapi aspek kesihatan penduduk Orang Asli suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir di sini yang disahkan diserang wabak demam campak.
Pengarah Jakoa Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, manakala Jakoa pula berperanan akan menumpukan kepada hal kebajikan dan pembangunan sosioekonomi suku kaum itu.
Beliau berkata, pelarasan itu agar 185 orang penduduk suku Batek dapat memulakan kehidupan baharu dengan tinggal dalam suasana lebih terjamin.
“Jakoa juga akan mengambil tindakan segera bagi kesejahteraan komuniti Orang Asli Batek di kampung itu yang masih hidup terpinggir berbanding suku kaum lain di negeri ini.
“Jakoa bersama Jabatan Kesihatan merancang untuk membuat bekalan air bersih menerusi sistem Bekalan Air dan Kebersihan Alam Sekeliling (Bakas) dalam masa terdekat ini.
“Kemudiannya, daripada sudut ekonomi pula Jakoa merancang kerjasama dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk memberi kepada semua keluarga projek pertanian tanaman kontan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kosmo! hari ini melaporkan, sebanyak 37 daripada 112 pesakit Orang Asli Suku Batek di Kampung Kuala Koh, di sini disahkan menghidap wabak measles (demam campak).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ia berdasarkan ujian makmal yang dijalankan ke atas seramai 170 daripada 185 (92 peratus) penduduk Kampung Kuala Koh yang telah ditemui dan diperiksa status kesihatan mereka.
Sementara itu, jumlah keseluruhan mangsa Orang Asli suku kaum Batek dari Kuala Koh yang telah meninggal dunia akibat krisis kesihatan meningkat kepada 15 orang.
Seorang kanak-kanak suku Batek, Nasri Rosli, 3, yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu yang meninggal dunia petang kelmarin telah disahkan akibat demam campak. K! ONLINE











