2,000 hadir jamuan raya Hospital Pakar KPJ Puteri - Utusan Malaysia

2,000 hadir jamuan raya Hospital Pakar KPJ Puteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Menjadi tradisi Hospital Pakar KPJ Puteri meraikan pesakit, pelanggan dan kakitangannya dalam Majlis Jamuan Hari Raya pada saban tahun.

Majlis itu yang diadakan di Hospital Pakar KPJ Puteri, Larkin di sini hari ini dengan kehadiran lebih 2,000 tetamu sebagai tanda penghargaan, mengeratkan siratulrahim dan membuat jaringan baharu dalam mengukuhkan kerjasama antara individu, syarikat dan pelanggannya.

Sambutan penuh tradisi itu diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Ir. Mohd. Izhar Ahmad; Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadot; Pengerusi Mutiara Johor Corporation, Datin Noor Laila Yahaya; Pengarah Eksekutif KPJ Healthcare Berhad merangkap Pengerusi Hospital Pakar KPJ Puteri, Aminudin Dawam dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haliza Khalid, Ketua Pegawai Eksekutif.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tema Tradisi Johor dipilih bagi mengembalikan nostalgia tentang tradisi Johor seperti pemakaian Baju Kurung Johor, Baju Kebaya Johor dan menu makanan dari negeri ini.

Pada majlis tersebut Hospital Pakar KPJ Puteri turut menyampaikan sumbangan lima kerusi roda kepada Taman Sinar Harapan Jubli, Johor Bahru dan peruntukan buat Madrasah Khadimuddin, Ulu Tiram serta pemberian duit raya buat 30 pelajar tahfiznya.

Menurut Haliza, pada bulan yang mulia ini pihaknya mengambil kesempatan meneruskan amal jariah dan pada masa sama berharap rezeki untuk KPJ Puteri dan kumpulan KPJ terus dilimpahi diberkati.

“Pada hari ini kita ada membuat sumbangan kepada golongan yang kurang berkemampuan dan bantuan kerusi roda kepada Taman Sinar Harapan.

“Sepanjang Ramadan, Hospital Pakar KPJ Puteri telah mengadakan pelbagai aktiviti seperti khatam al-Quran beramai-ramai dengan kakitangan dan para konsultan, pengagihan bubur lambuk, majlis berbuka puasa bersama kakitangan dan komuniti Kampung Dato Onn,” katanya ketika berucap.

Katanya, seperti amalan tradisinya, program satu staff satu barang Semurni Kasih Ramadan berjaya mengumpul dana daripada kakitangan dan mengagihkan kepada 30 keluarga kurang berkemampuan termasuk anggota pekerja dan penduduk sekitar Larkin.

Dalam perkembangan lain katanya, Hospital Pakar KPJ Puteri mengucapkan terima kasih kepada pelanggan-pelanggan kerana kesetiaan bersama-sama selama lebih tiga dekad.

Pada 1 Jun 1986, KPJ Puteri ditubuhkan dan dikenali dengan nama Medical Centre Johor dengan hanya 35 katil berserta tujuh konsultan.

Enam tahun selepas itu, pada 1 Mac 1993, hospital itu diambil alih Johor Corporation dan Kini KPJ Puteri mempunyai kapasiti 140 katil berserta 35 doktor pakar tetap. Bangunan baharu bakal disiapkan pada akhir 2020 dengan kapasiti total melebihi 200 katil.

Dengan adanya bangunan baharu, KPJ Puteri juga bakal dilengkapi dengan servis servis baharu, antaranya Pusat Pediatrik, Pusat Neurologi, Pusat Toraks dan Pembedahan Robotik. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini