ALOR SETAR – Seramai 29 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk lima orang wanita ditahan dalam Op Bersepadu Jabatan Imigresen negeri di kawasan premis perniagaan di pusat bandar ini dan Sungai Petani, semalam.
Menurut Pengarahnya, Zuhair Jamaludin, mereka yang ditahan itu terdiri daripada dua orang lelaki dan dua orang wanita warga Indonesia, Bangladesh (lima lelaki) dan India (lima lelaki).
Katanya, selain itu, Thailand (tujuh lelaki, dua wanita), Pakistan (3 lelaki) dan Myanmar (seorang lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki).
“Kesemua yang berusia 20-an hingga 50-an itu ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan (Akta 155) iaitu tinggal lebih masa.
“Operasi hasil maklumat risikan dan orang awam itu dijalankan bermula pukul 11 pagi dan tamat pada pukul 12 tengah malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Kata Zuhair lagi, selain itu, Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki Dokumen Perjalanan Sah dan Perkara 39 (b) peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas Lawatan dengan berkerja secara tidak sah.
“Kesemua mereka ditahan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserahkan ke Depot Imgresen Belantik, Sik,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE











