KUALA LUMPUR – Pasukan Polis Marin Kota Kinabalu menahan dua lelaki selepas dipercayai menangkap ikan secara haram di perairan Pulau Sepanggar, Kota Kinabalu, semalam.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, serbuan terhadap pam bot dikendali dua lelaki tempatan tersebut dibuat menggunakan bot ronda PGR 6 menerusi satu operasi terancang kira-kira pukul 4 pagi.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas pam bot tersebut mendapati juragan bot gagal mengemukakan lesen perikanan sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan.
“Dalam serbuan itu, kita turut merampas satu unit kompresor, satu gulung hos kompresor, dua bilah anak panah, dua pasang kaki itik, dua topeng muka dan satu tong ikan berwarna merah,”
Menurut Mohamad Pajeri, kedua-dua tangkapan dan hasil rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi Ossian Polis Marin Kota Kinabalu untuk dirujuk kepada Jabatan Perikanan Kota Kinabalu.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM7,350 dan kes diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan tanpa lesen,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











